Jangan hina Harimau Muda A!


KHAIRY (kanan) kesal dengan dakwaan media Asutralia yang menganggap skuad Harimau Muda A sebagai sarang bookie.


JANGAN kerana hanya nila setitik, habis rosak susu sebelanga! Demikian bidas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung laporan negatif yang menuduh skuad Harimau Muda A sebagai sarang bookie yang akan menyertai Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia bermula 8 Mac nanti.

Menurut beliau, ia satu pandangan yang tidak adil memandangkan penyertaan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee di sana mendapat persetujuan Persatuan Bola Sepak Australia dan pengurusan liga NPL.

“Jangan hina pasukan kita. Ini skuad muda kita.

“Walaupun ada setitik nila dalam kalangan rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket (bookie) antarabangsa sebelum ini, janganlah kata begitu.

“(Penyertaan Harimau Muda A) dalam NPL hanya bagi kemudahan dan pendedahan, jadi saya rasa ia satu pandangan yang tidak adil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Tahunan Jelajah Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM Tour Yearbook) 2013 di Kelab Golf Kinrara, Puchong, Selangor semalam.

Turut hadir Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Kelmarin, media Australia iaitu Brisbane Times melaporkan bahawa kehadiran skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara akan membuka ruang lebih besar buat sindiket bookie untuk mengatur perlawanan di NPL Queensland.

Laporan itu turut mengimbas beberapa insiden yang berlaku termasuk ketika penjaga gol kelab Geylang United, Yazid Yasin pernah disogok untuk menjual perlawanan ketika menentang Harimau Muda A dalam saingan Liga Singapura 2012.

Biarpun menegaskan Harimau Muda A bebas daripada sebarang kes skandal mengatur perlawanan, pihak media Australia itu percaya bahawa kedatangan skuad muda negara bakal memberikan impak negatif kepada NPL Queensland.

Namun, ia jelas membangkitkan kemarahan Kim Swee yang menyifatkan laporan sedemikian mengarut, biadap dan tidak masuk akal.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, gejala mengatur perlawanan merupakan masalah universal dan bukan sekadar berlaku di Malaysia.

“Ia isu sejagat, negara lain pun ada juga. Takkan mana-mana pasukan Piala Dunia yang ada sejarah kes rasuah kita akan tuduh bukan-bukan?

“Jadi, ia satu pandangan keterlaluan dan tidak berasas,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Khairy juga mengesahkan bahawa Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBSN) yang sepatutnya dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac depan terpaksa ditunda kerana ia bertembung dengan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

“Ia masih di trek yang betul, jadi satu tarikh baharu akan dikenal pasti. Mungkin ia (PPBSN) akan dilancarkan pada penghujung Mac ataupun awal April,” jelas beliau.