Kelantan belum hilang sengat


GHADDAR (kiri) memusnahkan impian PKNS selepas meledak gol kemenangan Kelantan.


KELANTAN membuktikan reputasi mereka sebagai juara bertahan Piala FA apabila tampil bergaya ke saingan separuh akhir selepas menyingkirkan Selangor PNKS 6-5 menerusi kiraan agregat dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.

Tonggak pertahanan The Red Warriors, Nik Shahrul Azim Ab. Halim menyifatkan kejayaan layak ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut membuktikan Kelantan masih belum hilang sengatnya walaupun terpaksa bergelut dengan prestasi yang tidak meyakinkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Menurut Nik Shahrul, kejayaan menyingkirkan PKNS adalah hasil komitmen rakan-rakan sepasukan yang telah mempamerkan semangat dan disiplin yang tinggi pada perlawanan tersebut.

Menurutnya lagi, meskipun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan tuan rumah pada minit kedua, namun ia tidak menjejaskan tumpuan mereka untuk mengharungi perlawanan tersebut dengan lebih yakin, sekali gus memastikan Kelantan mara ke peringkat seterusnya.

"Saya sanjung semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan pada perlawanan itu. Kejayaan kami mara ke separuh akhir dilihat menjadi titik tolak kepada kebangkitan pasukan Kelantan.

"Bagaimanapun saya dan rakan-rakan sepasukan masih perlu bekerja keras kerana terdapat beberapa kelemahan yang harus diperbaiki segera bagi memastikan Kelantan terus mantap," katanya.

Nik Shahrul memberitahu, benteng pertahanan Kelantan masih rapuh dan perlu diberbaiki segera bagi memastikan ia kembali ampuh untuk mengekang asakan pasukan lawan.

Jesteru, pemain kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu berazam untuk bekerja lebih keras bersama-sama rakan sepasukan bagi memastikan benteng Kelantan kembali mantap.

Pada perlawanan tersebut, The Red Warriors dikejutkan dengan jaringan awal tuan rumah pada minit kedua menerusi Patrick Ronaldinho yang bijak memanfaatkan hantaran Mohd. Nazmi Faiz Mansor.

Pada minit ke-19, Ahmad Fakri Saarani mempamerkan kehebatannya apabila meledak gol penyamaan dan selang tujuh minit kemudiaan, giliran Ahmad Shakir Ali menjarakkan kedudukan dengan jaringan kedua menjadikan agregat 5-3 berpihak kepada The Red Warriors.

Permainan kedua-dua pasukan bertambah sengit apabila Karlo Primorac kembali mengikat kedudukan menjadi 2-2 pada minit-minit akhir separuh masa pertama dan sebaik bersambung babak kedua, PKNS berjaya memimpin perlawanan menerusi jaringan Hamka Hamsah pada minit ke-71, namun hasrat mereka dimusnahkan oleh Mohamad Ghaddar.