550 jenama produk penjagaan bayi


EKSPO Keibuan yang berlangsung selama tiga hari akan menampilkan beberapa seminar yang bermanfaat untuk ibu bapa, permainan interaktif dan peraduan.


EKSPO bayi terbesar di Asia Tenggara, Ekspo Keibuan anjuran HareNet Communications Sdn. Bhd. kembali menghangatkan acara tahunan mereka bermula 28 Februari hingga 2 Mac 2014.

Dikenali sebagai ekspo paling pantas berkembang, ia akan merangkumi kawasan pameran seluas 23,469 meter persegi dengan lebih 350 gerai jualan.

Seramai lebih 200 peniaga mengambil bahagian mewakili 550 jenama terkemuka dalam produk penjagaan bayi dan kehamilan.

Ekspo Keibuan terus memainkan peranan penting sebagai platform sumber yang komprehensif di Malaysia meliputi keseluruhan spektrum penjagaan kelahiran bayi daripada konsep keibubapaan.

Ekspo selama tiga hari itu akan menampilkan beberapa seminar yang bermanfaat untuk ibu bapa, permainan interaktif dan peraduan selain menawarkan pelbagai pameran untuk bayi baru lahir, kanak-kanak dan ibu-ibu mengandung.

Antara produk yang dijual termasuklah pakaian dan kasut bayi, kereta sorong bayi, produk mandian dan penjagaan kulit. Selain itu, katil, perabot, permainan, cenderamata, produk makanan bayi dan peralatan menyusu serta banyak lagi yang pasti memenuhi keperluan kehamilan dijual di bawah satu bumbung.

Hakikatnya, melalui ekspo ini, para pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat terkini dan trend pasaran mengenai produk yang diingini.

Malah, setiap pempamer yang mengambil bahagian akan melancarkan inovasi dan ciptaan terkini dalam produk dan perkhidmatan bayi.

Selain peraduan dan permainan menarik untuk si kecil, pihak penganjur turut menjemput mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi taklimat dan nasihat berkaitan penyusuan bayi, magis urutan bayi dan tip sihat selepas bersalin.

Bagi mereka yang mencari peluang perniagaan secara francais, jangan ketinggalan untuk menghadiri sesi ceramah yang akan diadakan.

Sementara itu, bagi pengunjung yang membelanjakan RM100 ke atas dalam satu resit dengan mana-mana pempamer, jangan lupa mendapatkan tiket untuk menyertai cabutan bertuah yang dilaksanakan dua kali hari.