Tujuh anugerah jadi rebutan dalam Anugerah Drama Festival

DRAMA rantaian Carlos yang dibintangi Johan Asaa'ri (depan), Syazwan Zulkifli dan Namron turut tercalon di dalam DFKL.


MALAM esok merupakan hari yang paling mendebarkan buat calon-calon yang terpilih dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL).

Tujuh anugerah dipertandingkan dalam tujuh kategori dan hanya tujuh pemenang akan dipilih berdasarkan undian pilihan penonton.

Antara tujuh anugerah yang dipertandingkan malam itu ialah, drama pilihan, pelakon lelaki pilihan, pelakon wanita pilihan, pengarah pilihan, penulis skrip pilihan, barisan pelakon drama pilihan (berkumpulan) serta hero dan heroin pilihan.

Drama-drama yang tercalon dalam anugerah tersebut ini adalah antara drama yang mempunyai tontonan paling tinggi menerusi slot-slot drama di TV3 dan TV9.

Mungkinkah nasib akan menyebelahi drama popular Love You Mr. Arrogant? Drama tersebut berjaya meraih jumlah penonton paling tinggi sehingga mencecah 4.6 juta penonton dan menjadi bualan hangat dalam laman sosial.

Tidak ketinggalan drama Diandra yang dibintangi oleh Aiman Hakim Ridza dan Nur Fathia mungkin berjaya menggondol anugerah malam itu berdasarkan populariti drama yang ditonton lebih tiga juta penonton.

Bagaimanapun, semuanya ditentukan oleh peminat kerana mereka mempunyai kuasa menentukan pemenang. Buat peminat, mereka masih boleh mengundi artis kesayangan mereka di www.dfkl.com.my, kerana hari ini merupakan tarikh akhir untuk undian.

Anugerah Drama Festival pertama dan terbesar di Malaysia itu dibawakan istimewa oleh L’oreal Paris akan disiarkan secara langsung pada hari Sabtu ini, pukul 9 malam di TV3.

Sementara itu, penonton di rumah juga berpeluang untuk menyaksikan penampilan hebat pelakon kesayangan mereka menerusi acara karpet merah menerusi program Hip TV yang disiarkan di TV9 pada pukul 8.30 malam selama setengah jam. – HARYATI KARIM