Bandi, Nas 'Terjah' antara penerima anugerah alumni SMKTU


NAS (kiri sekali) dan Bandi (dua dari kanan) dan sebahagian penerima anugerah tokoh alumni SMKTU bergambar selepas majlis penyampaian anugerah itu di sekolah berkenaan di Johor Bahru baru-baru ini. Turut sama Adam (empat dari kiri), Abdullah (tengah) dan Edy (empat dari kanan).


ALUMNI. Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru ke-40 Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara (SMKTU) Johor Bahru baru-baru ini agak istimewa.

Selain sebahagian daripada persiapan sambutan ulang tahun ke-45 sekolah itu tahun ini, ia turut menyampaikan anugerah tokoh alumni kepada beberapa bekas pelajar selain anugerah kecemerlangan akademik 2013.

Antara yang menerima anugerah tokoh alumni ialah Nasabandi Jumat atau Bandi Amuk (penyanyi), Md. Nasir Ahmad atau Nas 'Terjah' Ahmad (pengacara program hiburan TV3), Saadiah Said (pegawai Jabatan Pendidikan Johor) dan Ahmad Taufik Hamzah (pegawai Jabatan Pendidikan Johor Bahru).

Zaiton Sulaiman (Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Rawang), Saadon Ibrahim (doktor pakar) dan Hasbullah Hashim (usahawan).

Anugerah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Puteri, Adam Sumiru. Turut hadir Pengetua SMKTU Abdullah Abd. Hamid dan Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Dr. Edy Tonnizam Mohamad.