Jadual rentang daripada kayu


KAJIAN yang dilakukan akan membantu industri pembinaan dan perkayuan negara.


MAJLIS Perkayuan Malaysia (MTC) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bekerjasama untuk menghasilkan jadual rentang (span table) pertama untuk kayu lapis berperekat (glulam) yang diperbuat daripada kayu-kayan Malaysia.

Jadual rentang lazimnya dihasilkan oleh jurutera struktur bagi menentukan beban maksimum yang mampu ditanggung oleh rasuk atau alang kayu yang diperbuat daripada glulam pada panjang yang tertentu.

Sebelum menyediakan span table daripada spesies kayu tertentu, pelbagai ujian harus dijalankan terlebih dahulu ke atas glulam berkenaan mengikut dimensi atau ukuran yang berbeza.

Spesies kayu Mengkulang (Heritiera spp.) dipilih bagi ujian rintis ini. Baru-baru ini, glulam yang diperbuat daripada kayu Mengkulang telah siap diuji di Makmal Struktur Berat di Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM.

Ujian yang julung-julung kali dijalankan ke atas glulam Mengkulang itu, melibatkan penggunaan daya tekanan tinggi ke atas glulam sepanjang 12 meter untuk menentukan beban maksimum yang mampu ditanggung.

"Ujian tersebut dapat memberi petunjuk berkenaan keupayaan glulam Mengkulang dalam menanggung tekanan fizikal yang tinggi," kata Pengarah Institut Kejuruteraan Infrastruktur dan Pengurusan Mampan UiTM dan Pengarah Projek, Dr. Zakiah Ahmad.

"Ujian tersebut turut menghasilkan data penting dalam mengenal pasti lokasi optimum tanggam jejari untuk kayu Mengkulang pada kepanjangan yang berbeza-beza," ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Datuk Yeo Heng Hau berkata, proses lapisan yang digunakan dalam pembuatan glulam membolehkan struktur glulam yang lebih panjang mampu menampung beban yang lebih berat berbanding kayu yang tidak berlapis.


GLULAM berukuran 12 meter digunakan dalam uji kaji yang dijalankan oleh UiTM dan MTC.


Tiada ujian

"Pada masa ini, tiada ujian yang telah dijalankan ke atas glulam yang diperbuat daripada kayu Mengkulang. Selain itu, tiada sebarang jadual rentang yang boleh diguna pakai oleh arkitek atau pereka bagi membantu mengenal pasti kegunaan spesies ini sebagai bahan struktur yang mampu menampung beban.

"Tanpa jadual tersebut sebagai bahan rujukan, kegunaan kayu Mengkulang dan spesies kayu Malaysia yang lain mungkin terhad kepada aplikasi tanpa-beban sahaja," jelas Heng Hau.

Lanjutan daripada ujian tersebut, Prof. Dr. Zakiah dan pasukan kaji selidiknya akan terus menjalankan ujian untuk memastikan kekukuhan perekat yang digunakan dalam proses laminasi glulam. Uji kaji ini dijangka siap dalam masa tiga bulan.

Pokok mengkulang berasal dari Asia Tenggara dan banyak didapati di Malaysia. Kayu mengkulang biasanya diproses untuk dijadikan lantai, tangga, panel serta bingkai pintu dan tingkap.

Ujian tekanan fizikal ke atas glulam Mengkulang ini akan dapat meluaskan lagi aplikasinya sebagai bahan struktur binaan.

Glulam merupakan kayu berperekat yang diperbuat daripada beberapa lapisan kayu. Glulam memiliki nisbah kekuatan berbanding berat yang lebih baik berbanding besi dan ia boleh dibentuk untuk dijadikan rasuk atau alang yang lurus mahupun melengkung.

Walaupun baru diperkenalkan di Malaysia, ia berpotensi untuk digunakan secara lebih meluas dalam industri binaan dan landskap seni bina negara, terutamanya dengan usaha MTC yang berterusan dalam menggalakkan penggunaan glulam.

Glulam telah digunakan secara meluas di beberapa negara maju sebagai komponen struktur, terutamanya bagi mencapai rentang yang panjang dan tidak bertiang, contohnya dalam pembinaan stadium sukan dan jambatan.