Canberra ibarat Putrajaya


TAMAN permainan kanak-kanak berbentuk kacang oak mengingatkan penulis dengan watak tupai bernama Scrat dalam filem animasi Ice Age.


PERCUTIAN selama lima hari ke bumi kanggaru pada penghujung tahun lalu meninggalkan pelbagai kenangan manis buat saya dan sahabat, Natasha Mohamad Idris. Kami berdua begitu teruja untuk menerokai Sydney, Australia sepanjang berada di sana.

Namun, selepas terpengaruh dengan nasihat seorang kenalan yang mengatakan tidak banyak lokasi menarik terdapat di Sydney, kami berdua memasukkan Canberra ke dalam destinasi pilihan.

Betul kata sesetengah orang yang berkata, 'mengembara adalah untuk membuktikan cakap-cakap orang tentang sesebuah tempat itu silap'.

Selepas berada di Sydney selama tiga hari, kami berdua berasa terlalu banyak destinasi menarik di ibu kota itu yang belum sempat diterokai sepenuhnya.

Memandangkan perjalanan ke Canberra sudah dirancang, kami berdua meninggalkan Sydney dengan berat hati. Kami memilih untuk menyewa sebuah kereta daripada seorang rakyat Malaysia yang sudah lama menetap di
PENULIS (kanan) dan sahabat, Natasha sengaja mengenakan baju kurung untuk merakamkan gambar kenangan di negara orang.


Sydney bagi perjalanan sejauh 287 kilometer ke Canberra.

Jika dikira, jarak perjalanan tersebut adalah seperti antara Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang yang biasanya memakan masa selama dua jam setengah. Bagaimanapun, kami diingatkan berkali-kali agar mematuhi had laju yang ditetapkan di negara berkenaan.

Harga minyak

Berbekalkan alat navigasi yang disediakan pemilik kereta, kami bertolak pada pukul 2 petang menuju ke Canberra. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan padang rumput seluas mata memandang di kanan dan kiri lebuh raya. Ia sangat berbeza dengan keindahan negara kita yang tumbuhannya hidup subur menghijau.


PENULIS tidak melepaskan peluang untuk merakam kenangan di arca gergasi di Taman Arboretum Negara.


Di sana, pemandangan seperti kanggaru yang secara tiba-tiba melintas di lebuh raya merupakan perkara biasa. Kami juga melihat beberapa bangkai haiwan berkenaan tersadai di bahu jalan.

Jika di Malaysia, pengurangan subsidi atau lebih popular dengan istilah kenaikan harga minyak sudah cukup menaikkan amarah rakyat. Bayangkan pula keadaannya di Australia apabila tiada subsidi minyak diberikan dengan harga bahan bakar itu mencecah RM4.50 seliter dan berubah-ubah seperti harga pasaran saham.

Lain stesen, lain harganya dan berubah setiap jam mengikut harga gas semasa. Keadaan tersebut agak melucukan bagi kami berdua yang sentiasa berusaha mencari stesen minyak yang menawarkan harga paling rendah.

Selepas empat jam memandu, kami tiba di kediaman kenalan yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di sana yang telah berbesar hati membenarkan kami menginap di rumahnya untuk satu malam.


RUANG tempat letak kereta yang disediakan di Taman Arboretum Negara.


Hargai tanah air

Keesokannya, kami menuju ke Taman Arboretum Negara di Tuggeranong. Taman tersebut berkeluasan 250 hektar yang menempatkan pelbagai spesies flora yang berjumlah lebih 48,000 pokok dari seluruh dunia.

Saya juga terpegun melihat keunikan reka bentuk taman permainan yang terdapat di taman negara tersebut. Ia membuatkan saya seolah-olah berada dalam sebuah filem animasi kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, tidak lengkap kunjungan pelancong jika tidak merakamkan gambar kenangan berlatarbelakangkan arca perkataan Wide brown land yang dibina menggunakan besi dengan ketinggian tiga meter dan 35 meter panjang.

Sebelum pulang, kami berkesempatan bersiar-siar di pusat bandar Canberra yang mirip seperti Putrajaya. Ini kerana bandar tersebut merupakan ibu negara dan pusat pentadbiran kerajaan di Australia.

Bukan mahu mendabik dada, namun secara peribadi saya berpendapat bahawa Putrajaya jauh lebih cantik dengan keistimewaan reka bentuk bangunan dan landskapnya.

Kunjungan ini membuatkan saya lebih menghargai keindahan negara sendiri.