Pakej istiadat perkahwinan SACC

Pusat Konvensyen Shah Alam menyediakan pelbagai perkhidmatan yang menjanjikan suatu majlis perkahwinan menjadi satu kenangan indah seumur hidup.


PENGANJUR menawarkan harga berpatutan kepada pasangan pengantin yang mengambil pakej-pakej perkahwinan SACC.


IKATAN perkahwinan merupakan satu peristiwa yang penting dan bersejarah dalam kehidupan seseorang apatah lagi masyarakat Melayu yang begitu berpegang teguh dengan adat resam.

Kukuhnya adat dalam masyarakat Melayu ini boleh diterjemahkan dalam pantun seperti ini :

Manis sungguh gula Melaka,

Jangan dibancuh dibuat serbat,

Sungguh teguh adat pusaka,

Biar mati anak jangan mati adat.

Disebabkan itu, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) mengambil inisiatif untuk memelihara dan melaksanakan upacara perkahwinan dengan penuh adat istiadat menerusi pakej istimewa yang diperkenalkan bermula tahun ini.

Pengarah Jualan dan Pemasaran SACC, Mohd. Rawi Abu Bakar berkata, meskipun zaman telah melangkaui kemajuan hari demi hari, namun masyarakat Melayu yang bercadang untuk berumahtangga masih mahu perkahwinan mereka dilangsungkan dengan penuh adat.

"Untuk meneruskan tradisi masyarakat Melayu ini, kami mengorak langkah dengan menyediakan majlis perkahwinan yang dikehendaki menerusi pakej Perkahwinan Kasih.

"Menerusi pakej ini, SACC menawarkan pengalaman unik yang pasti akan menjadi kenangan sempurna untuk pasangan pengantin dan tetamu mereka," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mohd. Rawi memberitahu, pihaknya mempunyai sebuah pasukan yang berpengalaman dan bertaraf antarabangsa sebagai jururunding dalam mengurus serta memastikan majlis perkahwinan tersebut berjalan lancar, meriah dan beradat.

Katanya, pakej yang disediakan juga memberi peluang kepada pasangan pengantin untuk memilih tema persandingan masing-masing berdasarkan kreativiti mereka sambil dibantu oleh pasukan profesional SACC.


PAKEJ Perkahwinan Impian SACC menyediakan perkhidmatan komprehensif termasuk berbulan madu di bilik suite di Hotel Concorde dan Hotel Bluewave di Shah Alam.


Idea

"Apa yang penting, idea pasangan tersebut akan dilaksanakan dan kami sebagai penganjur akan membantu mengembangkan dan merealisasikan impian tersebut.

"Pakej Perkahwinan Kasih meliputi seperti pelbagai pilihan makanan dan minuman, sistem bunyi dan cahaya, karpet, pentas, bilik untuk pasangan pengantin, acara potong kek, perkhidmatan video dan foto, buah tangan dan kad jemputan," ujarnya yang menegaskan pakej itu direka untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Menyedari bahawa perbelanjaan merupakan salah satu elemen penting dan sering menjadi kegusaran pasangan yang ingin meraikan hari bahagia mereka, Mohd. Rawi memaklumkan bahawa pihaknya menawarkan harga berpatutan kepada pasangan yang memilih pakej tersebut malah bersedia mengatur majlis mengikut kesesuaian bajet mereka.

Ini kerana, jelasnya, SACC tidak mahu terlalu menekankan kepada harga tetapi mahu menghidupkan sebuah majlis yang kreatif selain memberi pengalaman menarik kepada pasangan pengantin pada majlis di pusat konvensyen terbabit.

"Salah satu kelebihan pakej ini ialah kami menyediakan keperluan-keperluan yang jarang diperoleh di mana-mana hotel di sini," ujarnya.

Jika majlis moden yang ingin diketengahkan pasangan pengantin, pihak SACC menyediakan pakej Perkahwinan Impian. Seperti pakej Perkahwinan Kasih, ia menyediakan perkhidmatan yang komprehensif kepada pasangan pengantin di samping penyediaan penginapan bulan madu semalam di bilik suite untuk pengantin di Hotel Concorde dan Hotel Bluwave di Shah Alam serta persembahan pentas.

"Bukan hanya memberi tumpuan kepada majlis-majlis perkahwinan, pihak kami juga menawarkan pakej-pakej untuk majlis seperti pertunangan, berinai, perasmian, cukur jambul, makan malam gala, pelancaran produk, sambutan hari jadi dan ulang tahun.

"Kami mahu SACC bukan hanya menjadi sebuah organisasi yang menyediakan tempat untuk majlis sebaliknya merupakan sebuah badan yang mampu menyelaras serta menganjurkan pelbagai acara atau majlis demi memastikan kepuasan pelanggan," katanya.

Menurutnya, kami juga menyediakan perkhidmatan katering mengikut lokasi dan keperluan pelanggan.

Pakej Perkahwinan Kasih SACC dan Perkahwinan Impian masing-masing ditawarkan pada harga serendah RM80 dan RM160 seorang dengan minimum tetamu seramai 500 jemputan.