Kongsi ilmu pemakaian selendang


PARA peserta turut berpeluang menyolek sesama sendiri dengan menggunakan produk kecantikan Glo Mineral Make Up dari Amerika Syarikat.


RUANG pejabat butik dalam talian, Rana Aswad yang terletak di Bukit Indah, Ampang, Selangor dipenuhi dengan wanita berhijab yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia daripada kanak-kanak, remaja hingga dewasa.

Ada di antara mereka berbual sesama sendiri sambil menikmati hidangan yang disediakan. Meskipun baru bertemu buat kali pertama, namun kemesraan yang terjalin seolah-olah menampakkan mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Apapun, kedatangan wanita- wanita tersebut ke sana semata-mata untuk mempelajari teknik-teknik baharu dalam pemakaian selendang, di samping menimba ilmu solekan melalui program yang dianjurkan oleh Rana Aswad, satu jenama fesyen yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan.

Menurut pemiliknya, Farah Alwani Johari, acara itu merupakan satu projek amal dalam menghargai pelanggan setia Rana Aswad yang telah banyak menyokong perniagaan yang dijalankan.

“Bermula tahun 2014 ini, kami ingin memberi tumpuan kepada penganjuran program seumpama ini yang bertujuan untuk merapatkan hubungan dengan para pelanggan.

“Ia diadakan secara percuma dan terbuka kepada semua melalui hebahan yang dibuat di laman web Rana Aswad dan laman sosial Facebook kami.

“Namun, ia berasaskan siapa cepat dia dapat memandangkan premis kami agak kecil,” ujarnya yang mengakui teruja apabila dapat bersua muka dengan pelanggan mereka.


KOLEKSI busana Rana Aswad sesuai untuk digayakan oleh wanita pelbagai peringkat usia.


Penampilan sopan

Menurut gadis berusia 26 tahun ini lagi, dia yakin apabila rezeki yang diperoleh dikongsi bersama pelanggan, maka akan lahirlah keberkatan daripadanya.

“Saya sentiasa berpegang dengan falsafah, lebih banyak kita memberi, maka lebih banyak pula yang kita akan terima. Itu janji Allah pada setiap hamba-Nya yang bersyukur dan tidak lokek dalam menjalani kehidupan,” ungkapnya sambil tersenyum manis.

Diadakan dengan kerjasama Glo Mineral Make Up, iaitu pembekal utama produk kecantikan dari Amerika Syarikat, ternyata respons yang diterima daripada para peserta bengkel itu amat menggalakkan.

Ada yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menghadiri program tersebut dalam usaha meningkatkan keyakinan melalui penampilan diri yang lebih bergaya tetapi sopan di hadapan khalayak.

Bagi Puteri Nilofar Ahmad Kamil, 40, kali terakhir dia menyertai bengkel seperti ini kira-kira tujuh tahun lalu.

Justeru, apabila melihat hebahan yang dibuat di laman Facebook Rana Aswad, dia terus mendaftar sebagai peserta.

“Aktiviti ini satu inisiatif yang menarik kerana saya berpeluang mempelajari cara-cara memakai selendang pelbagai gaya dengan mudah.

“Paling penting, gaya pemakaian selendang yang diajar mematuhi kehendak syariah iaitu labuh hingga menutupi paras dada,” kata pensyarah Sains Sosial di Universiti Multimedia itu.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Che Puan Sue Ibrahim, 39, memberitahu, dia memang peminat setia Rana Aswad sejak mengenali jenama tersebut beberapa tahun lalu.

Koleksi jubahnya yang terkini dan menampilkan rekaan yang patuh syariah merupakan faktor utama menjadikan jenama tersebut sebagai pilihannya.

PEMAKAIAN selendang mengikut syarak amat mudah sekiranya kita mengetahui teknik-teknik yang betul.


Contoh anak muda

“Walaupun kebanyakan jubah yang dijual berkonsep moden kontemporari tetapi ia masih mengekalkan ciri-ciri kesopanan dan keanggunan seorang wanita Muslimah,” tutur Che Puan Sue yang turut membawa anak perempuannya pada bengkel itu bagi menggalakkannya menutup aurat dengan cara yang betul.

Dalam pada itu, Eksekutif Komunikasi Korporat di sebuah agensi kerajaan, Mazlifah Abdul Halim, 26, berkongsi pengalaman apabila dapat bertentang mata dengan pengasas Rana Aswad.

“Memang rasa amat teruja bertemu Farah Alwani. Usia kami sebaya tetapi kejayaan yang dicapainya amat besar dan boleh dicontohi anak muda.

“Selain itu, saya juga seronok apabila dapat bertukar-tukar pandangan dengan rakan-rakan baharu di sini mengenai gaya pemakaian tudung dan selendang yang lebih kreatif,” jelas Mazlifah.

Penggemar busana muslimah boleh melayari laman sesawang www.ranaaswad.com atau www.facebook.com/inforana.aswad untuk mendapatkan maklumat lanjut.