Gabungan pertama selepas 20 tahun



SAAT cahaya lampu yang menerangi Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur dimalapkan tanda bermulanya persembahan, gema sorakan penonton yang memenuhi ruang persembahan itu baru-baru ini kedengaran semakin memuncak tatkala alunan muzik mula dimainkan.

Selang beberapa minit, kelibat penyanyi dan pelakon, Erra Fazira yang begitu anggun mengenakan busana berona emas muncul di atas pentas sambil membawakan lagu Yang Terindah Hanya Sementara.

Usai melantunkan lagu tersebut sebagai pembuka tirai persembahan, penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain kemudiannya mengambil alih pentas sambil mendendangkan lagu Puncak Kasih sebelum diselangi dengan persembahan Awie yang membawakan lagu Bara.

Persembahan pembukaan ketiga-tiga penyanyi itu merupakan simbolik bermulanya bahagian satu penganjuran Konsert Teaterikal Suara Kita yang mendapat sentuhan daripada pengarah terkenal, Erma Fatima.

Vokal Erra masih berbisa

Trio yang turut bergelar pelakon itu bijak dalam memilih rangkaian lagu-lagu yang dipersembahkan sepanjang bahagian satu berlangsung.

Sekembalinya Ziana Zain ke atas pentas, peminat yang hadir disajikan dengan lagu-lagu malar hijau sesuai untuk memberi gambaran seterusnya bagi bahagian dua konsert tersebut. Dalam segmen itu, Ziana memperdengarkan lagu-lagu hitnya seperti Kekal, Fatalistik dan Bersama Akhirnya.


TRIO Ziana Zain, Erra Fazira dan Awie mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan mereka.


Awie yang muncul dengan pakaian serba ringkas berjaya memukau penonton menerusi persembahan bersahajanya dengan lagu-lagu tribute seperti Layang-Layang Terputus Tali, Nurnilam Sari dan Bujang Senang. Walaupun vokalnya kedengaran kurang memberangsangkan, namun, dia bijak dalam mengawal hubungan emosinya bersama penonton.

Tidak dinafikan, kemunculan yang paling dinantikan pada bahagian satu Konsert Teaterikal Suara Kita ialah persembahan daripada ratu filem Malaysia, Erra Fazira.

Sejujurnya, walaupun sudah lama tidak beraksi di atas pentas, Erra masih mampu melontarkan suaranya dalam menyanyikan rangkaian lagu-lagu seperti Pertemuan, Pasrah dan Jendela dengan baik.

Membuktikan bahawa penglibatannya dalam bidang seni tidak tertumpu pada dunia lakonan sahaja, persembahan Erra pada malam itu boleh dikatakan antara persembahan terbaiknya sepanjang menceburkan diri dalam industri hiburan.

Rangkuman lima filem

Tamat bahagian satu, persembahan pada malam itu diteruskan dengan bahagian dua yang menampilkan lakonan teater Erra, Ziana dan Awie berdasarkan lima filem yang pernah dilakonkan oleh mereka.

Filem-filem seperti Sembilu 1 dan Sembilu 2 diolah menjadi persembahan pembukaan turut menampilkan lagu-lagu runut bunyi yang pernah popular bersama filem-filem tersebut.

Paling menarik perhatian, babak yang disunting daripada filem Maria Mariana dihidupkan kembali dengan penampilan istimewa pengarah dan pelakon terkenal, Datin Ziela Jalil.

Terdapat juga beberapa elemen humor yang turut diselitkan sepanjang babak itu dilakonkan.

Dari segi mutu lakonan, Ziana tampak begitu menonjol berbanding Awie dan Erra terutamanya menerusi babak yang dipetik daripada filem Sembilu dan Maria Mariana. Karakter 'gedik' yang dimainkan ternyata mampu membuatkan penonton tertawa sepanjang pementasan berlangsung.

Persembahan bahagian dua Konsert Teaterikal Suara Kita ditutup dengan lagu baharu ciptaan Erma Fatima berjudul Makrifat Cinta. Lagu istimewa yang pertama kali diperengarkan pada penonton itu dicipta khas sempena persembahan tersebut.


NOSTALGIA Erra dan Awie daripada filem Sembilu diangkat ke pentas secara langsung di Istana Budaya.


Babak tergantung

Secara keseluruhan, rangkuman lima filem yang dijadikan sebuah persembahan pentas ini boleh dianggap sebagai satu idea bernas. Selain mencipta sesuatu yang bersifat baharu, ia turut sama membawa penonton mengimbau kembali nostalgia serta memori lama bersama ketiga-tiga pelakon tersebut.

Namun begitu, tiada kesinambungan dilihat antara kelima-lima babak yang cuba ditampilkan oleh pengarah. Setiap kali bertukar babak, penonton seperti meneka-neka daripada filem apa adegan tersebut diambil.

Selain itu, babak terakhir sering dibiarkan tergantung tanpa pengakhiran. Mungkin penonton yang merupakan peminat setia filem-filem Awie, Erra dan Ziana mampu untuk menikmati pementasan ini secara keseluruhan.

Bagaimana pula peminat yang masih muda dan tidak dibesarkan dengan filem-filem lakonan mereka? Sudah pasti mereka kurang faham intipati sebenar pementasan teaterikal berkenaan.

Bagaimanapun, unsur-unsur muzik yang ditampilkan dari awal hingga akhir dapat menyeimbangkan perjalanan persembahan tanpa membiarkan penonton berasa bosan menunggu saat tamatnya bahagian kedua itu.