Satu enjin untuk dua model



SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, rata-rata pengeluar motosikal berkuasa tinggi di serata dunia lebih cenderung ke arah memperkenalkan jentera kelas pertengahan dengan kapasiti enjin lebih besar. Malah ada yang beranggapan itulah trend yang harus diikuti untuk terus kekal berdaya saing dalam pasaran semasa.

Apa yang menariknya, Honda mengambil jalan berlainan untuk mengetengahkan tawaran produknya. Pengeluar motosikal nombor satu dunia itu menawarkan satu pakej yang lebih bersesuaian dengan keadaan semasa pasaran motosikal global.

Honda mengatur strategi untuk menawarkan pakej motosikal yang merangkumi gaya, spesifikasi tinggi, mudah digunakan, ada elemen keseronokan tunggangan dan paling penting motosikal Honda berbaloi dengan wang yang dibelanjakan para pengguna.

Langkah Honda itu bermula dengan pengenalan siri CB 500 dua tahun lalu dan produksi motosikal siri itu dilaksanakan di Thailand. Momentum tawaran pakej realistik itu diteruskan pada tahun ini dengan tindakan memperkenalkan dua model baharu iaitu CB650F dan CBR650F.

Motosikal dalam kelas 650cc itu dihasilkan menerusi fasiliti pengeluaran negara gajah putih itu mengaplikasi konfigurasi enjin empat silinder sebaris yang meneruskan warisan konsep susun atur keluarga CB sejak tahun 1969.

Model CB650F dan CBR650F membuat debut sewaktu Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali tahun lalu. Secara umumnya, kedua-dua model itu tidak jauh berbeza tetapi ditumpukan kepada dua segmen berlainan iaitu sports dan naked.


INSTRUMEN meter terbahagi kepada dua skrin memaparkan maklumat tunggangan semasa.


Honda CB650F

Tindakan itu bukan satu perkara luar biasa. Honda sebenarnya pernah melakukan perkara sama apabila memperkenalkan siri CB 500. Ketiga-tiga model CB 500 berkongsi enjin sama dan komponen binaan. Begitu juga dengan segmen 250cc (CBR250R dan CRF 250), satu enjin untuk semua.

Honda CB650F 2014 bukannya satu produk naik taraf atau berkongsi sebarang komponen dengan CB600F Hornet. Konsep binaan CB650F adalah untuk memudahkan penunggang menyesuaikan diri dengan motosikal itu tanpa mengorbankan aspek prestasi, gaya dan identiti.

Pengurus Projek Honda CB650F, Teishiro Goto berkata, CB650F memberi kepuasan apabila menyusuri laluan berselekoh dan amat baik untuk kegunaan dalam bandar tanpa mengorbankan elemen gaya hidup. Sasarannya lebih tertumpu kepada pelangan baharu.

Enjin yang digunakan itu merupakan unit baharu empat silinder sebaris DOHC bersesaran 649cc yang memberikan kuasa secukupnya pada julat pusingan enjin peringkat rendah sehingga sederhana.

Rangkaian kuasa itu dibangunkan oleh sepasukan jurutera muda dalam lingkungan 20-an untuk membolehkan produk itu menepati selera dan keperluan golongan muda. Keputusan diambil bukan tertumpu pada kuasa puncak pada pusingan enjin tinggi tetapi kekuatan kuasa pecutan dan respons kuasa aktif bawah paras 4,000RPM.

Susun atur enjin yang sengaja ditempatkan di bahagian hadapan casis bertujuan untuk merealisasikan agihan berat yang lebih ideal pada motosikal itu. Ketegaran kerangka keluli dan lengan ayun aluminium turut diselaraskan untuk menawarkan keseimbangan ketika menunggang.

Pasukan jurutera itu juga memadankan fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal boleh laras pada bahagian belakang bagi menyokong keseimbangan dan membolehkan kerangka motosikal menjadi lebih dinamik dalam semua situasi tunggangan.

Honda CB650F mempamerkan sifat maskulin hasil solekan komponen plastik agresif pada bahagian hadapan dan belakang serta memadankan bahagian tengah dengan tangki minyak yang bersaiz kompak.

Postur tunggang yang menegak serta sedikit mendada ke hadapan bertujuan menempatkan posisi kedudukan penunggang berhampiran titik graviti motosikal. Untuk memudahkan kaki penunggang memijak bumi, kadar ketinggian pelana ditetapkan setinggi 810 milimeter (mm).


HONDA CB650F lebih sesuai untuk kegunaan dalam kawasan bandar.


Honda CBR650F

Seperti kebanyakan model bersesaran tinggi Honda, minyak petrol disampaikan ke kebuk pembakaran kedua-dua model baharu ini menerusi sistem suntikan bahan api terancang Honda (PGM-FI) dan setiap liter petrol boleh mencapai jarak 21 kilometer (km). Secara purata, satu tangki menyamai jarak tunggangan sejauh 350km.

Maklumat tunggangan dipamerkan menerusi dua skrin pada instrumen meter. Skrin bahagian kiri ialah meter RPM dan meter laju. Skrin bahagian kanan pula membekalkan semua informasi semasa tunggangan termasuk lampu amaran.

Kelebihan CBR650F terletak pada komponen set fairing penuh bahagian hadapan yang memberi perlindungan apabila ada tamparan angin sekali gus meningkatkan soal keselesaan tunggangan bagi jarak jauh.

Posisi tunggangan lebih mendada ke hadapan berbanding CB650F dan postur itu membuatkan penunggang tampak lebih agresif.

Sistem suspensi nampak sama namun ada beberapa laman web permotoran antarabangsa yang mengatakan respons rendamannya penyerap hentak belakang lebih keras untuk menjayakan tunggangan sport.

Kemungkinan besar siri CB 650 itu bakal ditawarkan ke pasaran tempatan oleh Boon Siew Honda menjelang akhir tahun ini. Sama ada benar atau tidak, nantikan sahaja pengumuman terkini daripada pengedar dan pemasang motosikal jenama Honda di Malaysia.