DRB-Hicom Autofest 2014 pamer 11 jenama automotif


PELBAGAI pameran yang diadakan membuatkan pengunjung dapat melihat kenderaan pilihan mereka dari dekat.


KARNIVAL DRB-HICOM Autofest 2014 yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks EON, Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini merah dengan pelbagai tawaran dan kehadiran orang ramai.

Program anjuran DRB-Hicom Bhd. buat kali ketiga itu disertai jenama Proton, Lotus, Audi, Volkswagen, Honda, Suzuki, Mitsubishi, Isuzu, Modenas, Can-Am Spyder dan Tata.

Padat dengan aktiviti seperti persembahan stunt EMOS, konvoi dari kelab Swifters, Proton, Spyder Club KL, Triton dan persembahan kereta modifikasi.

Antara tarikan pada karnival yang berlangsung minggu lalu itu, pengunjung berpeluang untuk memandu uji kereta sport Lotus. Selain itu, pengunjung juga dapat merasai pengalaman menaiki Lotus dengan hanya membayar RM30.

Apa yang menariknya pada kali ini DRB-Hicom menawarkan hadiah cabutan bertuah sebuah Proton Saga SV untuk pengunjung bertuah.

Pengunjung yang bertuah, Md. Musa Hamzah menerima hadiah proton Saga SV berkenaan daripada Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan dan Hartanah DRB-Hicom , Datuk Mohamed Razeek.

Selain itu, tiga buah motosikal Modenas juga turut dijadikan hadiah cabutan bertuah di samping hadiah-hadiah lain.

Para pengunjung juga dapat menyaksikan aksi lagak ngeri daripada pasukan Modenas, pameran daripada Mitsubishi Triton serta kempen perkhidmatan servis motosikal.

Tawaran menarik tidak terhad kepada produk kenderaan malah perkhidmatan berkaitan automotif seperti pembiayaan dan pajakan turut ditawarkan.

Orang ramai yang berkunjung ke karnival itu juga boleh mengambil peluang untuk mendapatkan diskaun istimewa daripada MASA yang merupakan perkhidmatan roadside auto assist 24 jam.

Di samping itu juga perkhidmatan DRB-Hicom Leasing (Mylease) turut menawarkan perkhidmatan pajakan kereta secara menyeluruh.

Pada karnival itu, pameran sektor bukan automotif dalam kumpulan DRB-Hicom seperti Bank Muamalat, Glenmarie Properties, ICAm dan Puspakom turut diadakan.