Eksentrik kaki laram Congo

TERDAPAT juga pakaian yang disumbangkan oleh diaspora Congo kepada pengikut sapeur di tanah air mereka.


REPUBLIK Demokrasi Congo, sebuah negara luas yang kaya dengan sumber ekonomi, sering dikaitkan dengan 'Perang Dunia' Afrika yang menyaksikan jutaan rakyat mati antara tahun 1998 dan 2003.

Sungguhpun keganasan sentiasa membelenggu negara kedua terbesar di benua Afrika ini, namun ada keunikan yang tidak diketahui dunia luar mengenainya iaitu fesyen.

Di sana, terdapat ikutan yang dikenali sebagai sapeur iaitu satu budaya melaram dalam kalangan lelaki yang diinspirasikan oleh pereka busana terbaik dunia.

Socite des Ambianceurs et des Personnes Elegantes yang memberi makna Persatuan Bercita rasa Tinggi ataupun Kumpulan Elegan telah diwujudkan Congo-Brazzaville pada tahun 1960-an.

Namun demikian, susur galur tradisi kaki laram ini boleh dikesan pada zaman kolonial ketika penduduk tempatan mula melihat rekaan elegan masyarakat Eropah.

Idea awal pengikut budaya ini ialah untuk menggayakan pakaian, kasut dan aksesori yang direka oleh pereka fesyen ulung seperti Jean Paul Gaultier, Louis Vuitton, Cerruti, Versace, Yohji Yamamoto, Issey Miyake dan Dolce & Gabbana.


BUDAYA sapeur iaitu satu budaya melaram dalam kalangan lelaki yang diinspirasikan rekaan busana terbaik dunia.


Tetapi di Congo, rekaan tersebut diberikan suntikan tempatan bagi memberikan keunikan penampilan yang tersendiri.

Pakaian yang sering diperagakan termasuk sut canggih, tali leher sutera, topi dan kaca mata.

Di ibu negara Congo, Kinshasha, yang kebanyakan 10 juta penduduknya dihimpit kepayahan hidup, ribuan pengikut sapeur memakai pakaian yang telah disumbangkan oleh diaspora Congo.

Menurut pakar sejarah seni, Lydia Nsambayi, kebanyakan golongan ekspatriat tersebut kini mengalami masalah kewangan dan tidak mampu memberi sumbangan yang diperlukan oleh anak-anak tempatan.

"Apabila pengikut sapeur menyedari mereka tidak boleh mengekalkan gaya hidup yang diamalkan selama ini lagi, mereka membeli pakaian berjenama di kedai-kedai pakaian terpakai, menggabungkan rekaan mereka dengan jenama terpilih mahupun menghasilkan jenama tersendiri," katanya.

Ada juga antara mereka yang memilih pakaian sedia dipakai seperti jenama pakaian dan aksesori terkemuka dari Sepanyol, Zara.

Bukan sekadar meraikan gaya, pada 10 Februari setiap tahun, pengikut sapeur akan memperingati pengasas pergerakan tersebut, Stervos Niarcos Ngashie yang telah mati pada tarikh tersebut pada tahun 1995 di sebuah penjara Perancis.

Pada hari tersebut, puluhan pengikut akan berpakaian terbaik mereka dan berkumpul di Tanah Perkuburan Gombe, utara Kinshasa yang menjadi lokasi persemadian hero mereka.