Kembali galas amanah


KIM SWEE menerajui Harimau Muda A bagi menghadapi Liga NPL.


SELEPAS membimbing Harimau Malaya berdepan Yemen dalam aksi terakhir Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Rabu lalu, Datuk Ong Kim Swee kini kembali fokus menerajui skuad Harimau Muda A bagi mengharungi saingan Liga NPL Queensland, Australia.

Justeru, Kim Swee berharap anak-anak buahnya dapat melakar keputusan positif menjelang aksi pembuka tirai Liga NPL Queensland berdepan Moreton Bay Jets di Padang Wolter Park 1, Brisbane malam ini.

Biarpun tidak menetapkan sebarang sasaran sepanjang saingan Liga NPL, beliau mahu anak-anak buahnya kekal fokus meraih pengalaman berguna menjelang Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, September depan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saingan Liga NPL merupakan pendedahan terbaik skuad Harimau Muda A sebagai persiapan awal ke temasya Sukan Asia.

"Jadi, saya harap kami dapat melakar keputusan yang positif dalam setiap perlawanan selain mengenal pasti kelemahan pasukan yang perlu diperbaiki," katanya kepada Kosmo! semalam.

Skuad Harimau Muda A telah berlepas ke Brisbane, Australia Selasa lalu sementara Kim Swee baru tiba semalam dari Dubai selepas aksi berdepan Yemen.

Kim Swee juga mengakui, beliau bakal berdepan cabaran baharu bagi mengendalikan skuad Harimau Muda A kali ini.

"Harus diingat, skuad Harimau Muda A sekarang tidak lagi sama seperti sebelum ini kerana kini rata-ratanya dibarisi pemain muda di bawah usia 21 tahun.

"Mereka perlu diberikan peluang membuktikan kemampuan masing-masing serta meraih pengalaman sebaik mungkin supaya bersedia beraksi di pentas yang lebih tinggi selepas ini," jelas beliau.

Kim Swee berkata, beliau juga tidak 'menutup pintu' buat mana-mana pemain yang tidak dibawa ke Australia kali ini ketika Harimau Muda A berentap pada Sukan Asia kelak.

"Saya masih memiliki masa untuk mengenal pasti skuad terbaik bagi menghadapi Sukan Asia.

"Jadi, mana-mana pemain muda negara masih berpeluang beraksi pada Sukan Asia biarpun mereka tidak menyertai kami di Australia.

"Yang paling utama, kesemua pemain perlu membuktikan yang terbaik jika berhasrat untuk beraksi di pentas Piala Asia," katanya.