Penduduk Malaysia ke-30 juta

KELAHIRAN Kiara Belle pada 27 Februari lalu menjadikan penduduk Malaysia bertambah kepada 30 juta.


PETANG 27 Februari lalu membuka lembaran baharu dalam hidup Cindy Ong selepas dia selamat melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

Bekas ratu renang negara itu turut menyatakan rasa bangga apabila anak keduanya yang diberi nama Kiara Belle Kit merupakan antara salah seorang penduduk ke-30 juta di negara ini.

“Saya tidak menyangka dia akan dilahirkan dalam kelompok rakyat Malaysia yang ke-30 juta. Sudah tentu saya rasa bertuah dan istimewa kerana dapat menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah ini.

“Mungkin satu hari nanti, dia akan mengikut jejak langkah saya dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya tersenyum.

Dengan kelahiran Kiara Belle dan bayi lain pada Khamis lepas, Malaysia mencatatkan rekod baharu apabila jumlah penduduknya mencecah angka 30 juta orang berbanding 29,999,530 pada Rabu lalu.

Sehingga pukul 12 tengah hari semalam, populasi penduduk adalah seramai 30,009,886 orang.

Angka itu menjadikan Malaysia negara keenam dengan populasi penduduk tertinggi di Asia Tenggara selepas negara Indonesia, Filipina, Vietnam, Thailand dan Myanmar.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi penduduk di negara ini telah bertambah tiga kali ganda sejak Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 iaitu sekitar 6.3 juta orang.

Jumlah itu terus bertambah menjadi 21.8 juta orang pada tahun 1987 dan terus meningkat dengan jumlah penduduk seramai 28.6 juta orang pada tahun 2010.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Dr. Abdul Rahman Hasan berkata, jumlah itu berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mengikut jangkaan kadar kelahiran seorang pada setiap minit.

Penuaan

“Kami anggarkan seramai 60 orang bayi dilahirkan dalam tempoh satu jam.

“Malah, kami juga anggarkan rakyat Malaysia akan meningkat kepada 30,097,900 orang pada 30 Jun depan,” katanya.

Bagaimanapun, Malaysia masih jauh dalam mencapai sasaran yang diletakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu 70 juta penduduk menjelang tahun 2100.


HAMPIR semua etnik di Malaysia dijangka mencatatkan pertambahan dalam jumlah penduduk menjelang tahun 2040.


Tambah Abdul Rahman, populasi penduduk Malaysia akan bertambah kepada 38.6 juta orang pada tahun 2040 dengan 50.8 peratus daripadanya lelaki manakala selebihnya wanita.

Jika dihitung berdasarkan kadar pertumbuhan penduduk dengan purata 1 peratus, populasi rakyat negara ini dijangka menjadi 65 juta pada tahun 2100.

Berdasarkan perhitungan secara kasar itu, negara mungkin mengalami kekurangan lima juta orang daripada matlamat kependudukan 70 juta yang disarankan Dr. Mahathir.

Meskipun demikian, secara keseluruhan, semua etnik di negara ini dijangka mencatatkan peningkatan dalam jumlah penduduk menjelang tahun 2040.

Penduduk berketurunan Melayu mencatatkan peningkatan tertinggi dengan pertambahan daripada 14.3 juta pada tahun 2010 kepada 20.9 juta pada 2040. Ini diikuti dengan Bumiputera sebanyak 5.1 juta dan Cina sebanyak 7.1 juta.

Penduduk berketurunan India pula meningkat kepada 2.3 juta manakala penduduk bukan warga negara meningkat kepada 2.7 juta dan bangsa lain-lain bertambah sebanyak 477,000.

Menurut statistik Unjuran Penduduk Malaysia 2010 hingga 2040, Malaysia dijangka mengalami penuaan penduduk pada tahun 2021. Perkara itu terjadi apabila penduduk yang berumur 65 tahun ke atas diunjurkan meningkat lebih tiga kali ganda berbanding 2010.

Penduduk bagi kumpulan umur 15 hingga 64 tahun dan 65 tahun ke atas pula dijangka meningkat masing–masing sebanyak 1.4 dan 6.4 mata peratus bagi tempoh yang sama.

Sementara itu, penduduk yang berumur 0 hingga 14 tahun diunjurkan menurun daripada 27.4 peratus kepada 19.6 peratus bagi tempoh sama.

Trend ini turut menyumbang kepada peningkatan umur median daripada 26.3 kepada 36.0 tahun.