Sam akui kenal hati budi Aida


MINAT yang serupa menjadikan Sam dan Aida serasi bersama.


LAMA kisah cinta vokalis kumpulan Bunkface, Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd. Baharom tidak dibicarakan di dada akhbar.

Kali terakhir, Sam hangat digosipkan bercinta dengan pelakon jelita Juliana Evans.

Namun baru-baru ini tersebar beberapa keping gambar mesranya dengan seorang gadis bercuti di Pulau Tioman.

Siapakah gerangan gadis itu? Adakah itu teman wanita baharu Sam? Atau adakah mereka sekadar kawan?

Gambar-gambar tersebut dipercayai diperoleh dari laman sosial Instagram milik gadis itu.

Selepas diselidik, nama gadis itu ialah Aida Azira Hussin dan dia merupakan seorang wartawan sebuah program hiburan TV.

Ikuti penjelasan Sam mengenai gambar-gambar mesranya bersama gadis itu ketika mereka bercuti di Pulau Tioman beberapa hari lepas.

Selain itu, ada perkembangan terbaharu tentang karier seni Sam yang menarik untuk dikongsi bersama peminatnya.

Kosmo!: Boleh komen mengenai beberapa keping gambar Sam bercuti dengan seorang gadis di sebuah pulau di Malaysia baru-baru ini?

SAM: Itu gambar-gambar saya sedang bercuti di Pulau Tioman.

Siapakah gadis dalam gambar tersebut yang kelihatan mesra di samping Sam itu?

Kami berkawan. Kami masih dalam proses mengenali hati budi.

Adakah Sam bercuti di sana (Pulau Tioman) berdua sahaja?

Tidak. Saya pergi bercuti ke Pulau Tioman dengan kawan-kawan, bukan berdua.

Sudah berapa lamakah Sam mengenali dia (Aida)?

Saya sudah mengenali dia lebih kurang dua tahun. Kami sama-sama dalam industri hiburan.

Apakah kriteria Aida yang menarik minat Sam?

Dia bersahaja dan kami sekepala. Kami mempunyai minat yang sama dalam melakukan aktiviti luar.

Apakah projek Bunkface selepas lagu Rentak Laguku?

Kami (Bunkface) akan mengeluarkan single seterusnya yang berjudul Orang Kita. Lagu itu akan dilancarkan lepas sambutan Aidilfitri nanti.

Ia menceritakan tentang jika melakukan sesuatu seperti bercinta, kita tidak perlu berlebih-lebihan menyalurkan emosi.

Selain itu, ada sebuah syarikat di Singapura meminta saya mencipta lagu raya untuk keluaran di negara tersebut.

Selepas raya pula, Bunkface akan ke Jepun mengadakan persembahan di sana.