Resipi tradisi sengkuang calit

SENGKUANG calit ini enak dimakan begitu sahaja.


SEKEPING sengkuang yang disapu sos calit pasti menambat selera sesiapa sahaja. Apabila dimamah, gabungan hidangan sengkuang bersama sos memberi rasa yang menyegarkan.

Kacang tanah yang ditumbuk halus ditabur di atas sengkuang yang disapu sos calit itu menambahkan lagi rasa makanan tradisi tersebut.

Dijual pada harga RM2 sekeping, kios kecil Old Time Sengkuang sering menjadi tumpuan pelanggan.

Pemiliknya, Amru Hisham Mohd. Arsad, 42, dan isterinya, Ameliza Abu Yazid, 39, merupakan dua tunjang utama yang giat mempromosikan hidangan sengkuang calit menerusi perniagaan francais Old Time Sengkuang.

Meminati sengkuang calit sejak di bangku sekolah, pasangan tersebut cuba untuk mempopularkan kembali makanan itu secara kecil-kecilan, enam tahun lalu.

Namun, pasangan itu mula serius kira-kira empat tahun lalu selepas berhenti kerja.

Amru Hisham memberitahu, cawangan pertama Old Time Sengkuang dibuka di tapak Uptown Puchong Permai, Puchong, Selangor mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan.


AMELIZA (tengah) bersama Falah Fitra Fitri (kiri) dan pelanggan mereka, Endera Faizal Abdul Khalil menunjukkan sengkuang calit di kios Old Time Sengkuang, Taman Puchong Permai, Puchong, Selangor baru-baru ini.


“Bagi saya, sengkuang calit merupakan hidangan makanan yang mengimbau kenangan ketika era 1970-an dan 1980-an. Saya dan isteri telah melakukan penambahbaikan pada resipi sos sengkuang, Old Time Sengkuang untuk disesuaikan dengan cita rasa remaja masa kini,” jelasnya juga merupakan salah seorang peserta dalam program bimbingan perniagaan francais Permodalan Nasional Berhad.

Resipi

Tambah Ameliza pula, dia mempelajari resipi pembuatan sos calit dan rojak daripada ibu saudaranya di Perak yang dipanggil Aminah.

Menurutnya, Aminah pernah menceritakan bahawa penduduk Tanah Melayu ketika di bawah jajahan Jepun sekitar tahun 1940-an sering menikmati sengkuang calit.

“Rekaan kios Old Time Sengkuang juga bercirikan gambar-gambar klasik orang dahulu menikmati hidangan sengkuang calit. Ia merupakan cara terbaik untuk mengembalikan nostalgia tersebut menerusi hidangan tradisi ini,” jelas ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Dengan slogan Buat Sedap Sedap!!, Old Time Sengkuang menawarkan dua perisa sos iaitu sos calit asli istimewa berwarna merah dan sos rojak pedas. Pada harga sama, pelanggan juga boleh mencampurkan kedua-dua sos tersebut untuk hidangan sekeping sengkuang.

Sengkuang merupakan sayur-sayuran daripada spesies ubi. Sayur itu mengandungi pelbagai khasiat yang bertindak sebagai pelawas, menyejukkan badan dan baik untuk tenaga batin bagi orang lelaki.

AMRU HISHAM meletakkan sos pada sengkuang sebelum ditabur kacang tumbuk.


Cawangan

Old Time Sengkuang kini mempunyai 50 cawangan kios di sekitar Lembah Klang, Pahang, Perak dan sedang merancang meluaskan cawangan di Johor.

Selain itu, Old Time Sengkuang juga merupakan perniagaan pertama di negara ini yang memperkenalkan sistem francais penjualan sayur itu.

Seorang peniaga kios Old Time Sengkuang Calit di bulatan Universiti Tenaga Nasional, Bangi, Falah Fitra Fikri Mohamad Amin, 26, memberitahu, selain keuntungan yang berganda, perniagaan tersebut juga mudah dikendalikan.

“Peniaga yang berdaftar, akan diberikan peralatan perniagaan yang lengkap seperti kios mudah alih, sengkuang, sos dan peralatan dapur. Peniaga boleh memulakan perniagaan dengan segera asalkan mempunyai tapak yang sesuai untuk berniaga.

“Di tapak perniagaan saya, dianggarkan sebanyak 400 keping sengkuang calit habis dijual setiap hari. Selain sengkuang yang segar dan resipi sos, pelanggan juga menggemari kacang tumbuk yang rangup ditabur di atas sayur itu,” jelasnya yang juga bekerja sebagai pemandu trak tunda.