CCM semai semangat cintakan alam


ANTARA murid-murid sekolah yang terlibat dalam program RAS menunjukkan hasil lukisan yang bertemakan alam sekitar.


PENGILANG barangan farmaseutikal generik dan baja kompaun, Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM) baru-baru ini mengukuhkan usaha tanggungjawab sosial korporatnya melalui penganjuran Program Rakan Alam Sekitar 2014 (RAS) di Keningau, Sabah.

Program yang bertujuan memperkasa dan menyemai semangat tanggungjawab para pelajar dalam melindungi alam sekitar, khususnya sumber air semula jadi itu melibatkan lima buah sekolah serta sebuah tadika di daerah tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kebulu, SK Delayan, SK Sinua, SK Dalit, SK Sook dan Tadika Kemas Keningau.

Pengarah Bahagian Kimia CCM, Mohd. Nazmi Sallehhudin berkata, RAS yang menerapkan aktiviti bersifat eksperimen menyediakan pengetahuan teori dan pembelajaran secara terus terhadap usaha pemuliharaan sumber air dalam komuniti.

"Kami percaya penglibatan anak-anak muda ini akan memberi kesan yang besar dalam membentuk sikap positif terhadap penjagaan alam sekitar dan apabila mereka dewasa kelak," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup telah menyempurnakan pelancaran program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar Sabah.

RAS yang telah dimulakan pada tahun 2010 di Keningau turut melibatkan sekolah-sekolah terpilih di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.