Polis cuma kumpul maklumat




KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengunjungi beberapa kediaman kru kabin pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 bagi mendapatkan maklumat.

Bagaimanapun, katanya, kunjungan pegawai dan anggota PDRM itu merupakan amalan biasa sebagai pihak berkuasa untuk memastikan segala maklumat diperolehi bagi membantu siasatan.

"Apa yang dilakukan oleh pihak PDRM adalah mencari maklumat bukan menangkap. Maklumat-maklumat itu adalah untuk mempermudahkan pencarian. Mungkin ada maklumat yang boleh digunakan sebagai nilai tambah untuk dijadikan petunjuk kepada pencarian.

"Ini kerja polis, biasalah untuk mencari bahan bagi mempermudahkan jika ada unsur-unsur yang boleh membantu siasatan PDRM. Saya fikir ini bukan siasatan untuk diambil tindakan, jangan ingat polis ini zalim," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat keselamatan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang di Maktab PDRM Cheras di sini.

Tambah beliau, siasatan yang dilakukan mengambil kira empat faktor seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini iaitu melibatkan sabotaj, rampasan pesawat, masalah psikologi dan peribadi penumpang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus mengatakan pihak polis kelmarin membuat serbuan ke atas kediaman milik juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah yang memandu pesawat berkenaan yang hilang sejak Sabtu lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.