Petunjuk baharu MH370 beri kelegaan kepada ahli keluarga penumpang

15/03/2014 3:08pm

PUTRAJAYA - Petunjuk terbaharu berhubung kedudukan terkini pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 ternyata memberi satu kelegaan kepada ahli keluarga penumpang pesawat setelah lapan hari berada dalam keadaan berteka-teki.

Perasaan tersebut dizahirkan oleh seorang bapa kepada salah seorang penumpang pesawat iaitu Selamat Omar,60, yang menyifatkan petunjuk tersebut memberi harapan bahawa pesawat dan penumpang selamat.

"Alhamdulillah setelah lapan hari berteka-teki akhirnya pesawat dapat dikesan dan ia memberi petunjuk bahawa pesawat tersebut berada dalam keadaan selamat begitu juga dengan penumpang di dalamnya.

"Terima kasih dan kami mohon supaya operasi mencari dan menyelamat dapat diteruskan sehingga pesawat dan penumpang dapat ditemui secepat mungkin,"katanya ketika ditemui di Hotel Everly di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Selamat bersama ahli keluarga yang lain mendengar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kedudukan terkini pesawat MH 370 yang diadakan secara langsung di Hotel Sama-sama, Sepang.

Dalam pada itu, adik kepada Mohd. Razahan Zamani, melahirkan perasaan syukur berhubung petunjuk terbaharu itu dan berharap abangnya selamat.

"Alhamdulillah, doa kami didengar semoga abang cepat balik," ujar Mohd. Fikri Zamani, 11. - KOSMO!