India tangguh cari pesawat MH370

SEBUAH kapal penumpang melalui Laut Andaman dekat Pelabuhan Blair, India semalam.


NEW DELHI - India menangguhkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang dengan aset operasinya diletakkan dalam keadaan bersiap sedia, lapor agensi berita Bernama semalam.

"Pihak berkuasa Malaysia kini memberi petunjuk bahawa berdasarkan siasatan, operasi mencari telah memasuki fasa baharu dan strategi pencarian seterusnya sedang dirangka," menurut Kementerian Pertahanan India dalam satu kenyataan semalam.

India menggunakan enam buah pesawat, enam kapal dan helikopter untuk mencari pesawat MH370 yang hilang sejak sembilan hari lalu di sekitar Laut Andaman dan Teluk Benggala.

Aset tambahan tentera laut diletak dalam keadaan bersiap siaga.

Tentera laut yang mengetuai operasi terus mengekalkan koordinasi dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dari Pusat Operasi Maritim di New Delhi yang beroperasi 24 jam.

"Setakat ini tiada pengesanan dilaporkan unit yang dikerah untuk mencari di pelbagai kawasan yang ditentukan," kata kementerian itu.

Misi mencari pesawat itu di gugusan Kepulauan Andaman dan Nicobar masih tidak menemui sebarang objek dari pesawat tersebut.

Tiada kesan minyak, serpihan atau maklumat daripada sonar yang menunjukkan pesawat itu terhempas di lokasi operasi mencari MH370. - Agensi