Israel minta Palestin iktiraf negara Yahudi


SEJUMLAH penduduk berarak bagi memberi sokongan kepada Abbas berhubung isu negara Israel di kampung Tuba, Tebing barat, Palestin semalam.


BAITULMUQADDIS - Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon berkata, satu perjanjian keamanan dengan Palestin tidak akan dicapai melainkan Pihak Berkuasa Palestin mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara Yahudi.

"Adalah sukar untuk membuat satu perjanjian tanpa pihak di sebelah sana (Palestin) mengiktiraf hak kita untuk wujud sebagai tanah air penduduk Yahudi," katanya kepada saluran sebuah stesen televisyen.

Menurutnya, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bukannya seorang rakan yang boleh membantu menamatkan konflik antara Palestin dengan Israel.

Beliau berkata, keamanan tidak wujud ketika generasi Mahmoud masih hidup.

Isu pengiktirafan itu menjadi perkara utama dalam rundingan damai tajaan Amerika Syarikat.

Palestin telah menolak untuk memberi pengiktirafan tersebut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pengiktirafan itu merupakan punca utama konflik melibatkan Israel dengan Palestin.

Mahmoud akan menemui Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada minggu depan. - AP