Roti hitam burger Ninja

BURGER KING memperkenalkan dua menu promosi baharu iaitu burger Ninja dan sosej Jumbo Franks.


SECARA realiti, Burger King Malaysia berada di posisi kedua dalam pasaran burger di Malaysia. Harganya juga tidak serendah francais makanan segera lain, namun kualiti, rasa dan keaslian burgernya dijamin kompetatif.

Jarang sekali kita melihat promosi kreatif daripada Burger King Malaysia. Bermula 3 Mac lalu, ia mencipta kejutan dengan memperkenalkan burger Ninja. Diapit roti hitam arang bersaiz empat inci, promosi baharu itu diharapkan dapat menarik minat individu berusia 18 hingga 35 tahun.

Penghasilan roti hitam arang itu diinspirasikan daripada Burger King Jepun yang memperkenalkannya pada pertengahan tahun 2012. Begitupun, konsep yang diterapkan adalah berbeza. Malaysia memilih tema Ninja bagi melengkapi keseluruhan promosi yang berakhir pada hujung April depan tersebut.

“Ramuannya sama seperti burger di Jepun. Kami bukan menekankan soal warna roti malah lebih kepada kelembutan teksturnya.

“Bagi mendapatkan rasa ini, kami menggunakan teknik arang buluh,” jelas Pengarah Pemasaran Burger King (Malaysia dan Singapura), Keith Loh ketika ditemui di majlis pelancaran burger Ninja di Burger King, 1Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


PROMOSI burger Ninja telah bermula pada awal Mac lalu sehingga penghujung April depan.


Keenakan

Keenakan burger Ninja baharu itu digandakan dengan lapisan daging lembu atau ayam gril bersama sos teriyaki, salad segar dan bawang gril.

Pelanggan boleh memilih daripada empat sajian yang ditawarkan. Seleksi itu terdiri daripada burger ayam atau daging biasa atau deluxe yang menggunakan daging gril lembut untuk burger jenis Whopper.

Set burger Ninja turut didatangkan dengan minuman Fanta Grape Star dan kentang goreng saiz sederhana.

Turut menambah menu Burger King Malaysia ialah Jumbo Franks. Sosej dengan hirisan ayam salai itu juga disediakan bersama sos signatur Burger King iaitu teriyaki. Menu ini dijual pada harga RM5.95.

Burger Ninja Burger King kini boleh didapati pada harga RM7.95 bagi burger biasa ala carte dan RM9.96 untuk set penuh. Set deluxe pula dijual pada harga RM13.95 dan RM9.95 untuk ala carte.

Sementara itu, tambah Keith, jika sambutan promosi tersebut mencapai sasaran yang memuaskan, ia mungkin dijadikan promosi tahunan Burger King Malaysia.