Setiap ujian pasti ada penyelesaian


MANUSIA akan melalui beberapa fasa psikologi sekiranya ditimpa musibah. - Gambar hiasan



PERKEMBANGAN kes kehilangan pesawat MH370 sentiasa dinanti orang ramai.



TERDAPAT ujian yang boleh diselesaikan segera, tidak kurang pula menuntut kesabaran tinggi.


KEHILANGAN pesawat penumpang MH370 masih lagi menjadi misteri. Seluruh dunia masih tertanya-tanya mengenai punca kehilangan dan nasib yang menimpa penumpang dan kru pesawat terbabit.

Sekiranya persoalan seperti ini terus berlegar dalam pemikiran kita, bayangkan bagaimana pula perasaan ahli keluarga mangsa yang terlibat secara langsung dengan tragedi ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Bagaimanapun, pada akhirnya itulah kehidupan. Sebagai manusia, kita diuji dengan pelbagai cara. Ada perkara yang boleh diselesaikan dengan cepat tidak kurang pula ujian yang memerlukan kita lebih banyak bersabar.

Sesetengah insan diuji dengan kesakitan malah ada yang diuji dengan kehilangan ahli keluarga tersayang. Apa-apa pun bentuk ujian yang kita lalui, pada akhirnya ia bergantung kepada kekuatan psikologikal manusia untuk menghadapinya.

Teori

Seorang ahli psikiatri, Elisabeth Kübler-Ross mengemukakan satu teori bagaimana manusia secara kebiasaannya melalui beberapa fasa apabila diberikan ujian yang besar.

Pada peringkat awal, seseorang individu yang ditimpa sesuatu kecelakaan akan cuba menafikan hakikat bahawa mereka sedang ditimpa musibah. Peringkat penafian antara tahap paling teruk yang perlu dihadapi oleh mangsa.

Mereka seboleh-bolehnya akan mengatakan bahawa perkara buruk itu sebenarnya tidak terjadi.

Pada fasa kedua, mangsa yang terlibat akan dirundung perasaan marah dan cemas terhadap situasi yang sedang berlaku.

Dalam kebanyakan kes, mangsa akan mencari seseorang atau pihak untuk melepaskan rasa marah mereka. Ia bukan sesuatu hal yang pelik. Sekurang-kurangnya cara itu mampu meredakan sedikit tekanan perasaan yang mereka dialami.

Fasa ketiga pula, individu yang ditimpa musibah mula mempertimbangkan keadaan dan situasi yang sedang berlaku. Mereka mula menilai aspek positif dan negatif sesuatu kejadian.

Misalnya, mereka yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya akan mula memberitahu diri bahawa sekurang-kurangnya mereka sekadar lumpuh tetapi masih diberikan peluang oleh Tuhan untuk terus bernyawa.

Fasa selanjutnya ialah individu terbabit akan mengalami perasaan kemurungan yang teruk. Sebenarnya, ia merupakan satu proses yang normal. Keadaan itu memberikan peluang kepada individu untuk menguruskan sesetengah perkara dalam mengharungi pengalaman buruk itu.

Pada peringkat terakhir, secara perlahan-lahan seseorang yang ditimpa musibah sudah mula boleh menerima hakikat dengan kejadian yang berlaku.

Kekuatan psikologi

Kekuatan psikologi seseorang amat dituntut dalam usaha untuk sampai ke peringkat itu. Sesetengah individu boleh menerima hakikat kejadian buruk dengan lebih cepat malah ada yang mengambil masa yang lebih lama.

Pengalaman seperti itu sebenarnya dialami oleh manusia setiap waktu terutamanya apabila kita menerima berita kematian atau ditimpa musibah. Bagaimanapun, ada perkara yang boleh kita hadapi dengan cara yang positif. Selain itu, terdapat juga perkara yang menyebabkan kita mengambil masa yang agak lama untuk menerima kenyataan.

Perkara itu bergantung kepada kekuatan mangsa yang pernah mengalami pengalaman yang sama sebelum ini. Sekiranya kita pernah melalui pengalaman seumpama itu, musibah yang terjadi mungkin dapat dihadapi dengan lebih tenang.

Oleh itu, bagi kebanyakan orang dewasa dan berumur, mereka lebih mudah menerima berita kematian saudara-mara atau kesakitan jika dibandingkan dengan golongan remaja. Pengalaman golongan dewasa yang banyak kali melalui perkara itu memberi kekuatan kepada mereka.

Dalam kes kehilangan pesawat MH370, ia merupakan proses yang sedang dilalui oleh ahli keluarga mangsa. Sesetengah mereka pastinya sedang mengalami tekanan psikologikal yang teruk dan ada juga yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pihak tertentu. Keadaan itu merupakan satu proses psikologikal yang dialami oleh semua manusia.

Sebagai manusia, kita perlu menerima hakikat bahawa setiap yang terjadi itu telah pun berlaku. Sekiranya kita mampu meramal apa yang akan berlaku pada masa hadapan, manusia pastinya menghindari diri daripada sebarang musibah.

Sekiranya kita semua tahu kejadian buruk yang akan menimpa pesawat MH370, pastinya tidak ada seorang pun yang menaikinya pada hari tersebut. Namun, perkara itu pastinya mustahil untuk dizahirkan.

Apabila setiap insan ditimpa musibah seperti ini, percayalah bahawa ada manusia lain yang mungkin sedang diuji dengan musibah yang lebih teruk. Bagaimanapun, dengan perkembangan dan perkhabaran yang sering dikemas kini mengenai pesawat tersebut, sekurang-kurangnya kita masih mempunyai harapan bahawa seramai 239 orang penumpang dan anak kapal berkemungkinan masih selamat.

Harapan itu pasti membuatkan kita semua mampu terus bertahan.

Kepada semua ahli keluarga yang terbabit, bersabarlah. Semua rakyat Malaysia dan seluruh dunia akan terus bersama-sama anda. Ia bukan hanya ujian untuk anda, tetapi juga ujian untuk kita semua. Semoga ada cahaya terang di hadapan sana.