Nissan Skyline R33 GT-S


HUD asal hadapan digantikan kepada jenis gentian karbon.


INDUSTRI automotif di Jepun mula bangkit secara drastik selepas perang dunia kedua berakhir. Walaupun pernah dikutuk kereta sebagai tin biskut di Amerika Syarikat, industri automotif Jepun akhirnya diterima dunia. Resipi automobil keluaran negara matahari terbit mudah, kualiti, kualiti dan kualiti.

Namun ada satu lagi faktor yang mendorong kebangkitan landskap automotif Jepun sehingga menjadi tumpuan dunia. Ia mampu menghasilkan kereta sports pada harga rendah tetapi boleh ditala dan menandingi jentera berprestasi tinggi keluaran Eropah dan Amerika Syarikat.

Antara syarikat Jepun yang dimaksudkan ialah Mitsubishi. Syarikat itu berjaya mengeluarkan model Lancer Evolution dengan enjin turbo 2.0L bersama sistem pacuan empat roda (4WD).

Jika bajet tidak mencukupi untuk melamar sebuah Evo, anda masih ada pilihan lain yang turut menelan belanja besar seperti Lancer 1.8 GSR yang dilengkapi komponen berprestasi seperti Evo. Bezanya hanya melibatkan saiz sesaran enjin.


KIT badan lengkap GT-R disarung pada model R33.


Kolum modifikasi kali ini memaparkan jentera Nissan Skyline R33 GT-S milik Hafis Hazam yang berasal dari Johor Bahru, Johor. R33 bukannya salah sebuah model daripada varian GT-R. Ia sebenarnya sebuah Skyline versi mampu milik.

Biarpun kereta ini tidak sehebat model GT-R, jangan memandang prestasinya sebelah mata kerana R33 masih berada dalam liga kereta berprestasi tinggi.

Mitsubishi R33 GT-S standard didatangkan bersama enjin RB25DET mampu menjana kuasa kuda setinggi 250PS dengan bantuan sistem pengecas turbo. Biarpun begitu, enjin varian GT-S hanya memacu kedua-dua roda belakang.

Berbekalkan minat mendalam terhadap model GT-R, Hafis memulakan langkah melaksanakan aktiviti modifikasi pada kereta itu agar tampak hampir sama seperti spesifikasi model GT-R.

Sedikit sentuhan dilakukan pada bahagian enjin agar ia mampu meledakkan kuasa tambahan sepertimana yang dikehendaki pemiliknya. Perkara pertama dilakukan ialah menggantikan unit intercooler sedia ada kepada model daripada varian GT-R untuk meningkatkan aliran udara masuk bagi merealisasikan kadar pembakaran dalam yang lebih kuatdalam kebuk pembakaran.


SISTEM intercooler berkapasiti besar digunakan untuk menjayakan saluran udara yang lebih tinggi ke dalam enjin.


Sebuah fuel regulator dari Sard dipasang pada sistem penyampaian bahan api untuk meningkatkan aliran minyak petrol ke dalam enjin. Paip ekzos asal telah digantikan dengan paip jenis tahan karat berukuran 3.8 inci sebelum diakhiri dengan peredam bunyi jenama HKS Dragger.

Sesudah menjayakan penggantian komponen asal, pemiliknya memasang seunit komputer piggy-back Greddy E-Manage pada ECU enjin asal untuk membolehkan enjin itu ditala untuk peningkatan kuasa yang lebih berprestasi.

Bagi mengimbangi kestabilan kenderaan sewaktu pemanduan, sistem suspensi asal digantikan dengan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya daripada jenama Tien. Kebanyakan penggemar kereta Jepun lebih mempercayai jenama Tein ekoran respons yang dihasilkan menepati keperluan pemanduan harian mahupun di litar lumba.

Melangkah masuk ke dalam bahagian kabin, perkara pertama yang jelas terpapar ialah tempat duduk hadapan R33 GT-R. Untuk memantau ledakan boost, Hafis mengambil inisiatif memasang sebuah meter bacaan boost Greddy untuk perkara itu.

Reka bentuk luaran Skyline Hafis tidak jauh bezanya daripada sebuah GT-R. Ia disebabkan pemiliknya menyarungkan satu set bodykit lengkap GT-R edisi terhad Nismo 400R. Komponen dimaksudkan ialah bampar hadapan, skirt sisi dan bampar belakang.

Bonet ditanggalkan bagi memberi laluan kepada jenis bonet gentian karbon mirip model R33 GT-R buatan RaceCraft. Hafis juga berkesempatan memperoleh spoiler belakang boleh laras R33 GT-R untuk melengkapkan tranformasi jentera kesayangannya.

Akhir sekali, untuk menjadikannya tampak agresif, Hafis memilih menggunakan rim replika Rays Engineer TE37 bersaiz 18X10jj yang dibaluti tayar Hankook berukuran 245/45/R18 di bahagian hadapan manakala tayar Continental (saiz sama) disarung pada roda belakang.