Merealisasi arboretum Sungai Besi



SEPERTI biasa sejak kira-kira 15 tahun lalu, Ramlan Abu Sien memulakan rutin pekerjaannya memeriksa pokok-pokok di Hutan Simpan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Jika ada dahan reput jatuh ke tanah, Ramlan terlebih dalu memeriksanya dikhuatiri menghempap tumbuhan herba yang lebih kecil. Selepas itu, barulah dahan tersebut dialihkannya ke tepi denai.

Tindakannya itu, bagi memastikan semua tumbuhan termasuk bersaiz kecil dapat terus hidup dan membesar.

Bagaimanapun, tugas lelaki berusia 40-an itu bukan mudah, dia yang dibantu seorang ranjer lain perlu meronda di hutan berkenaan mengikut jadual yang ditetapkan. Ia bagi memastikan hutan simpan tersebut bebas daripada penceroboh dan akhirnya merosakkan khazanah alam yang amat bernilai itu.

Sambil melalui denai-denai hutan, tangannya tidak duduk diam dengan mengopek kulit pokok atau membuang daun-daun di ranting.

"Semua tumbuhan, tidak kira pokok balak atau herba dalam pemantauan kami. Ini kerana, khazanah berharga itu perlu terus hidup untuk manfaat kita bersama.

"Pokok balak misalnya, mengambil masa cukup lama untuk mencapai ketinggian dan saiz yang besar. Justeru, kita perlu ada rasa tanggungjawab untuk memastikannya tidak lenyap sekelip mata," tegas Ramlan.

Menceritakan pengalamannya menyaksikan tumbesaran pokok-pokok, Ramlan memberitahu, tumbuhan kategori balak kayuan keras hanya membesar 0.8 sentimeter setahun.

Bagi tumbuhan herba kecil pula, Ramlan menambah, ia juga tidak menjalani tumbesaran pantas dan boleh rosak atau patah sekiranya dihempap dahan reput.

"Pokok-pokok tersebut perlu dijaga kerana Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) mempunyai matlamat menjadikan Hutan Simpan Sungai Besi sebagai arboretum kebangsaan," katanya turut berkongsi hasrat sama.


Mohd. Puat memegang kulit pokok minyak beruk.


Paling luas

Arboretum ialah kawasan khusus yang dijadikan lokasi tanaman semula tumbuhan kategori terancam, jarang ditemui dan hampir pupus termasuk spesies renek dan herba untuk tujuan pemuliharaan, kajian saintifik serta pendidikan.

Pengarah JPWP, Rusli Tahir berkata, semua tumbuhan kategori tersebut termasuk yang mempunyai khasiat penyembuhan akan ditanam semula.

"Kira-kira 24 tumbuhan dikenal pasti untuk dipulihara di hutan simpan ini. Antaranya, balau laut, cengal, bitangor bukit, penaga lilin, kerian dot, kembang semangkuk, salam serta beberapa jenis meranti.

"Kita akan berusaha sedaya upaya menjadikan hutan simpan ini sebagai arboretum kebangsaan," kata beliau.

Terletak kira-kira 14.2 kilometer dari pusat bandar raya, Hutan Simpan Sungai Besi merupakan hutan simpan paling luas di Kuala Lumpur.

Ia melibatkan keluasan 42.29 hektar bersempadan antara Lapang Sasar Menembak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di sebelah barat dengan kawasan perumahan penduduk Alam Damai di timur.

Walaupun menjadi hutan simpan paling luas di Kuala Lumpur, khazanah tersebut hanya melibatkan 0.23 peratus daripada keseluruhan 29,200 hektar 'rimba batu' di ibu negara.

Rusli menyifatkan, hutan tersebut sebagai permata di tengah-tengah Kuala Lumpur kerana berupaya menjadikan kawasan persekitaran lebih nyaman.

"Bayangkan jika tiada langsung hutan di bandar raya ini seperti yang berlaku di beberapa bandar raya di Amerika Syarikat atau Eropah, persekitaran udara pasti menjadi lebih teruk.


MEREDAH denai di Hutan Simpan Sungai Besi pasti memberi pengalaman berharga kepada orang ramai.


"Jika dicampur keluasan semua hutan simpan di Kuala Lumpur termasuk Hutan Simpan Bukit Lagong Tambahan, Hutan Simpan Bukit Nanas dan Hutan Simpan Sungei Puteh, keluasan keseluruhan cuma 68.27 hektar dan masih sangat kecil," katanya.

Sehingga kini, terdapat lebih 200 spesies tumbuhan hutan hujan khatulistiwa di Hutan Sungai Besi sejak diwartakan sebagai hutan simpan pada 8 April 1932.

Akar terbesar

Lebih menarik, Ketua Unit Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dr. Mohd. Puat Dahalan memberitahu, Hutan Simpan Sungai Besi menyimpan spesies akar dipercayai terbesar dan terpanjang di Malaysia.

Menurut Mohd. Puat, akar tersebut, ventilago melaksensis mempunyai ukur lilit 30 sentimeter serta menjangkau sehingga 100 meter panjang dan berusia lebih 35 tahun.

"Kita sedang berusaha memasukkan tumbuhan akar itu ke dalam Malaysia Book of Records," kata Mohd. Puat.

Mohd. Puat menambah, ia turut menyimpan dua spesies dipterokarpa daripada jenis balak kayuan keras iaitu meranti paang dan balau membatu dianggar berusia lebih 70 tahun dengan ukur lilit 75 sentimeter.

Spesies yang jarang ditemui dan mempunyai nilai penyembuhan pula ialah akar sekunyit yang digunakan secara tradisional merawat resdung atau sinusitis.

Halia kesing yang membantu melawas angin dalam badan atau uluran, serta pokok hempedu beruang yang berupaya meningkatkan tenaga tubuh sebagaimana tongkat ali juga terdapat di hutan ini.

"Bagi memelihara kekayaan sumber semula jadi di sini, hutan ini tidak pernah dibuka kepada orang awam sebagaimana hutan lipur atau rimba lain.

Pendedahan

"Bagaimanapun, kita sedang berusaha memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kewujudan dan kepentingan hutan ini kepada warga Kuala Lumpur.

"Melalui kerjasama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), program kesedaran seperti Save Our Rainforest Race dirancang khusus untuk beri pendedahan kepada awam," ujar Mohd. Puat.

Program yang menggalakkan orang ramai melakukan pemuliharaan terhadap spesies-spesies tumbuhan yang semakin sukar ditemui itu akan diadakan pada 29 Mac ini di Hutan Simpan Sungai Besi.

"Tidak ramai yang tahu kewujudan hutan simpan di Sungai Besi. Lagipun, tiada papan tanda dipasang.

"Apabila Peka cuba memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan hutan di kawasan bandar, kita berharap ia memberi manfaat besar kepada semua orang.

"Kita mahu mereka daripada tidak tahu tentang kewujudan hutan ini, menjadi tahu, mengambil berat bertanggungjawab memelihara hutan," ujar Mohd. Puat.

Sehubungan itu, beliau berharap kepelbagaian khazanah flora yang terdapat di hutan simpan tersebut dikekalkan untuk manfaat generasi seterusnya.

Ujar beliau, kewujudan hutan tersebut juga membolehkan burung, ular, serangga dan haiwan kecil mendiaminya sekali gus melengkapkan kitaran ekosistem tanpa gangguan.

Sekiranya sasaran menjadi arboretum kebangsaan tercapai pada tahun ini, Hutan Simpan Sungai Besi akan membuka lembaran baharu dalam dunia penyelidikan sekali gus memberi manfaat terhadap manusia dan alam sekitar.