Anak pasangan Malaysia ditahan di Sweden ikuti kelas intensif Bahasa Malaysia

23/03/2014 10:21pm

KUCHING - Empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden kini mengikuti kelas intensif mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi membantu meningkatkan penguasaan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, Kelantan telah pun memulakan kelas berkenaan bagi membantu empat beradik itu.

"Ini adalah antara langkah diambil bertujuan membantu Aisyah Azizul Raheem, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia memandangkan mereka berempat kini berada dalam keadaan yang stabil dan tidak lagi tertekan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Keusahawanan Wanita 2014 di sini hari ini. - Bernama