Tragedi MH370, tiga konsert berskala besar dibatalkan


DATUK RAMLI SARIP menunda Konsert Ramli Sarip Blues Buat Teman Tour 2014 di Persada Johor, Johor Bahru esok demi menghormati tragedi MH370.


SAAT Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meng- umumkan tentang nasib pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang berakhir penerbangannya di Lautan Hindi selepas 17 hari menjadi misteri, kepiluan dan kesedihan yang menyelimuti segenap emosi keluarga penumpang dan anak-anak kapal yang terlibat jelas dirasai.

Momen sebak yang dipaparkan di kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar sehari selepas pengumuman tersebut dilakukan mampu meruntun jiwa seluruh masyarakat dunia.

Terkesan dengan detik tersebut, beberapa stesen televisyen tempatan telah mengubah jadual siaran serta menangguhkan beberapa program berbentuk hiburan yang dijadualkan berlangsung minggu ini.

Antaranya ialah Karnival Jom Heboh yang dijadual berlangsung di Kuala Terengganu pada 28 dan 29 Mac ini.

Saluran E! News (712) yang bakal memaparkan E! News Asia Special: Lisa Surihani pada 30 Mac pukul 10 malam turut menundakan tayangan istimewa itu bagi menghormati tragedi MH370 kepada tarikh baharu iaitu 13 April pada pukul 10 malam.

Rasa tanggungjawab

Selain program anjuran stesen televisyen tempatan, beberapa buah penganjuran konsert juga turut mengikut jejak langkah yang sama. Sebuah konsert berskala besar, Twin Towers- @Live Concert 2014 yang dijangka bakal menggegarkan Kuala Lumpur esok dan Sabtu ini juga telah dibatal- kan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Petronas selaku penaja rasmi konsert tersebut, keputusan ini dibuat secara sebulat suara bersama penaja-penaja lain serta pihak penganjur sebagai tanda hormat terhadap tragedi tersebut.

"Kami benar-benar sedih dengan tragedi itu dan ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang terlibat.

"Sebagai penaja, kami berasa bertanggungjawab untuk memastikan bahawa mereka yang terlibat mendapat layanan yang sepatutnya," kata mereka.

Menerusi konsert tersebut, beberapa penyanyi antarabangsa bakal menghiburkan peminat antaranya Christina Aguilera, kumpulan Lifehouse, Craig David dan Rain. Turut sama dijangka memeriahkan konsert percuma itu ialah bakat-bakat tempatan seperti Altimet dan Oh Chentaku.

Walaupun Petronas telah menarik diri, penganjur bagi konsert tersebut, Live @ Work Sdn. Bhd. masih menganjurkan malam gala yang bakal diadakan pada malam ini di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.

Konsert eksklusif David Foster and Friends itu telah diubah menjadi konsert penghormatan (tribute) sempena tragedi MH370. Antara artis-artis lain yang terlibat termasuklah Ruben Studdard, Datuk Siti Nurhaliza, Vince Chong, Elvira Arul, Juwita Suwito dan Cheryl K.

Tangguh konsert di Johor

Bagi penyanyi terkenal, Datuk Ramli Sarip, penangguhan Konsert Ramli Sarip Blues Buat Teman Tour 2014 dilakukan bagi memberi penghormatan kepada keluarga serta penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat MH370.

Katanya, beliau berasa sedih sewaktu mendengar pengumuman yang dilakukan oleh Najib mengenai nasib yang menimpa pesawat serta 239 penumpang itu.

"Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri kedengaran begitu menyedihkan. Pada pendapat saya, kita semua patut menghormati semua mangsa yang terlibat.

"Berkenaan dengan tiket yang telah dibeli, peminat tidak perlu gusar. Tiket-tiket tersebut masih boleh diguna semula nanti," kata Ramli sambil melahirkan rasa terima kasih kepada pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kerana memahami situasi yang sedang berlaku buat masa ini.

Konsert tersebut dijadualkan berlangsung di Persada Johor, Johor Bahru pada 28 Mac (esok).

Konsert Ramli Sarip Blues Buat Teman Tour 2014 yang lain tetap diteruskan kerana wang bagi membiayai kos berkaitan penganjuran telah dikeluarkan. Antara negeri-negeri yang telah dijelajah menerusi konsert ini termasuklah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu, Melaka dan Perak.

Tidak ingin berhibur

Dalam pada itu, penyanyi tersohor negara, Anuar Zain turut mengambil keputusan menunda konsertnya iaitu Konsert Terindah... Anuar Zain yang dijangka berlangsung pada 8 April depan di Hotel One World, Petaling Jaya bagi menghormati kejadian yang menimpa pesawat MH370.

"Selepas mendapat tahu mengenai kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu, saya sangat terkejut dan sedih. Perasaan saya terus berasa tidak ingin berhibur dan meneruskan konsert saya pada 8 April depan.

"Saya terus berhasrat untuk menundanya, walaupun ia bakal menyusahkan semua pihak termasuk penaja-penaja dan peminat-peminat yang sudah membeli tiket," katanya.

Mengulas lanjut, Anuar memberi- tahu, perasaannya lebih hiba apabila mendapat tahu mengenai nasib pesawat yang dikatakan berakhir di Lautan Hindi baru-baru ini. Ini kerana, terdapat beberapa kru di dalam pesawat itu dikenalinya sepanjang tempoh 10 tahun bergelar pramugara MAS.

Bagaimanapun, penundaan tersebut sudah dimaklumkan kepada pembeli-pembeli tiket konsertnya.

Kata Anuar: "Mereka telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan saya yakin peminat-peminat akan faham mengenai penundaan konsert tersebut."

Konsert Terindah... Anuar Zain hanya akan dilangsungkan pada 29 April depan di lokasi sama.

- IZWAN MOHD. ISA