Durakovic dalam dilema


DURAKOVIC (kiri) bersalaman dengan jurulatih Han Noi T&T, Phan Thanh Hung selepas sidang akhbar di Stadium Shah Alam semalam.


MASALAH kecederaan menghadirkan keresahan buat pengendali Selangor, Mehmet Durakovic menjelang aksi menentang kelab Vietnam, Ha Noi T&T pada aksi keempat peringkat Kumpulan F kempen Piala AFC di Stadium Shah Alam malam ini.

Durakovic tidak dapat menurunkan tiga tonggak utamanya iaitu Steve Pantelidis, K. Gurusamy dan Andik Vermansyah yang dihimpit kecederaan ketika ini.

Situasi tersebut menambahkan lagi kesukaran Durakovic yang masih tercari-cari kemenangan sulung pada kempen Piala AFC musim ini bagi mencerahkan peluang mara ke peringkat kalah mati.

"Ramai pemain mengalami kecederaan termasuk Pantelidis dan Andik yang mengalami hamstring. Keadaan Muhammad Shahrom Abdul Kalam pula masih 50-50 tetapi Gurusamy besar kemungkinan bakal terlepas semua aksi musim ini.

"Kami terpaksa mengharungi situasi ini, namun tetap meneruskan tugas kami. Ia bukan satu tugas yang mudah dan saya perlu mencari pengganti sesuai untuk mengisi kekesongan Gurusamy.

"Pilihan yang saya ada ketika ini ialah Abdul Shukur Jusoh. Apa pun, kita akan lihat nanti bagaimana dan kami akan tetap memberikan persembahan terbaik esok (malam ini)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar perlawanan itu di Stadium Shah Alam semalam.

Durakovic turut percaya skuad bimbingannya tidak akan mendapat laluan mudah daripada Ha Noi T&T apatah lagi lawan mereka itu pastinya akan menurunkan kesebelasan terbaik.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Australia itu yakin anak-anak buahnya mampu menggalas misi mencari tiga mata pertama dalam kempen itu dengan berpegang teguh terhadap prinsipnya iaitu menang dalam setiap perlawanan.

"Ha Noi T&T adalah sebuah pasukan yang hebat. Mereka mempunyai pemain yang sangat berkualiti dan pastinya ia akan menjadi satu perlawanan sukar.

"Namun, bagi saya, kami sepatutnya boleh mendapat keputusan seri pada pertemuan lalu (tewas 0-1 kepada Ha Noi T&T 19 Mac lalu) dan matlamat utama kami esok (malam ini) adalah untuk meraih tiga mata penuh," jelasnya.

Sementara itu, jurulatih Ha Noi T&T, Phan Thanh Hung turut senada dengan Durakovic dengan harapan dapat membawa pulang tiga mata ke bumi Vietnam.

"Perlawanan ini sangat penting buat kami dan juga Selangor kerana kedua-dua pasukan masih berpeluang untuk layak ke pusingan kalah mati Piala AFC.

"Saya akan menurunkan barisan terbaik dan akan memberikan yang terbaik bagi mendapatkan keputusan positif esok (malam ini) sepertimana ketika kami menang 1-0 pada aksi pertama sebelum ini," katanya.

Sebagai rekod, Selangor kini menduduki tangga ketiga Kumpulan F dengan dua mata hasil dua keputusan seri (1-1 dengan Arema Indonesia dan Maziya S&RC) dan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Hanoi T&T yang menang kesemua tiga perlawanan setakat ini.