Sotong murah ketika bulan terang fenomena biasa

seorang peniaga menjual sotong di Pasar Basah Chow Kit, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Harga sotong serendah RM2 sekilogram di Sabah yang berpunca daripada musim bulan terang di negeri itu ketika ini merupakan fenomena biasa setiap tahun.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, sudah menjadi kebiasaan lambakan sotong akan berlaku di Sabah bermula bulan Mac hingga Mei.

"Pada musim bulan terang setiap tahun, nelayan di Sabah akan dilimpahi dengan sotong. Jadi mereka mula menawarkan harga rendah seperti sekarang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Irmohizam memberitahu, harga sotong di Semenanjung tetap stabil iaitu RM9 hingga RM18 sekilogram bergantung kepada saiz.

Beliau berkata, sotong akan jadi lebih mahal pada musim tengkujuh iaitu bermula bulan November hingga Februari setiap tahun yang mana harganya boleh mencecah RM20 sekilogram.