The Amazing Spider-Man 2 bukan sekadar bergayut

Tipikal karakter Spider-Man yang kerap dipertontonkan kepada umum sejak beberapa tahun lalu, ia menyaksikan karakter adi wira ini banyak berayun sehingga kadangkala efek yang dibuat nampak tidak asli. Namun, menerusi The Amazing Spider-Man 2, penonton dijanjikan dengan aksi yang lebih bersifat realistik.


WATAK Spider-Man atau Peter Parker pada francais kali ini dihasilkan dengan lebih teliti agar kelihatan lebih realistik.


PADA 27 Mac 2014 bertempat di Marina Bay Sands, Singapura, segerombolan media dari seluruh dunia sudah siap berkampung menanti delegasi yang mewakili kelompok francais filem adi wira paling berpengaruh di dunia, Spider-Man.

Delegasi yang terdiri daripada penerbit, pengarah dan pelakon francais kelima filem tersebut dijadual bercakap tentang proses pembikinan, promosi dan pengalaman mereka sepanjang proses penghasilan The Amazing Spider-Man 2.

Lebih kurang pukul 6.30 petang, Andrew Garfield yang mengenakan kostum Spider-Man muncul dan aksinya memperkenalkan diri menggamatkan suasana dengan kehadiran kira-kira 2,000 peminat di pusat beli -belah itu.

Bagaimanapun, dalam kalangan semua yang hadir, paling terkesan tinggi humor ialah Jamie Foxx yang sangat mesra dan kaya dengan jenaka.

Sedikit kronologi mengenai adi wira ini, Spider-Man bermula dengan komik karya Stan Lee dan Steve Ditco pada tahun 1962 sebelum ia diangkat ke layar lebar dan menjadi fenomena di seluruh dunia.

Barisan pelakon terdahulu seperti Tobey Maguire dan Kirsten Duns telah menyemarakkan francais adi wira ini dengan pulangan yang luar biasa setiap kali ia ditayangkan.

Sehingga kini, tahun 2014 menyaksikan The Amazing Spider-Man 2 kembali di bawah arahan Marc Webb selepas The Amazing Spider-Man berjaya mencatat kutipan melebihi RM2.4 bilion di seluruh dunia pada tahun 2012.

Satu janji yang diberi beliau, filem yang bakal ditayangkan ini disifatkan sebagai lebih realistik dan banyak kesilapan kecil yang sebelum ini tidak diambil kira diperbaiki demi memberi kepuasan kepada peminat.

Filem ini bakal ditayangkan bermula di Sepanyol dan Belgium pada 16 April ini manakala di Malaysia, The Amazing Spider-Man 2 akan menemui penonton pada 1 Mei ini.

Filem francais terbaharu terbitan Avi Arad dan Matt Tolmach ini terus mengekalkan jalan cerita berdasarkan komik asal untuk memastikan watak adi wira itu tidak lari dari jalan cerita sebenar.

Bagaimanapun kali ini, Peter bukan hanya berseronok berayun di antara bangunan pencakar langit dan bersama kekasihnya, Gwen Stacy (Emma Stone) kerana kuasa adi wira itu perlu dibalas dengan harga yang mahal.

Berdepan dengan musuh lebih kuat iaitu Elektro (Jamie Foxx) dan kawan lamanya, Harry Osborn (Dane DeHaan) adalah tugas berat yang menantinya bagi melindungi penduduk New York daripada kejahatan.

"Sukar untuk menjadi Peter Parker tetapi hebat untuk menjadi Spider-Man," kata Andrew Garfield yang kembali memegang watak utama selepas berjaya menghidupkan watak itu dalam The Amazing Spider-Man pada tahun 2012.

Jelasnya, sebagai Peter Parker dia adalah manusia biasa yang mempunyai pelbagai masalah peribadi.

Namun apabila bertukar menjadi Spider-Man, hidupnya berubah dan secara automatik wira itu tahu apa yang perlu dilakukan.

"Spider-Man perlu menjadi seorang yang penuh dengan tanggungjawab tetapi dia tetap dengan perjalanan hidupnya," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton yang berlangsung baru-baru ini.

Tonton tiga bahagian

Sempena kunjungan delegasi Spider-Man itu juga, pihak media diberi peluang untuk menonton tiga bahagian terpilih daripada filem itu selama 30 minit sebelum pergi ke pawagam bermula 16 April ini.

Salah satu babak yang dipertontonkan ialah mengenai kehilangan ibu bapa Peter yang tidak pernah ditayangkan dalam mana-mana francais Spiderman sebelum ini.

Bahagian tersebut menyebut mengenai karier bapanya yang turut bekerja di dalam syarikat Oscorp dan berhadapan konflik sehingga memaksa ibu bapanya meninggalkan Peter bersama ibu saudaranya di New York.

Peter kemudiannya membesar dan bercinta dengan Gwen Stacy di kolej sebelum mereka menamatkan pengajian namun hubungan tersebut turut berdepan dengan cabaran.

Lebih merumitkan keadaan dan menjadikan jalan cerita mencabar apabila musuh yang lebih berkuasa muncul dan antaranya ialah Max ataupun Elektro, seorang lelaki kesepian yang mempunyai kuasa elektrik.

Salah anggap menyebabkan Max yang kesepian dan tidak dipedulikan sesiapa mula membenci Spider-Man menyebabkan dia menjadi semakin kejam dan kuasanya menjadi lebih kuat dengan menyedut tenaga elektrik.

Kemudian, muncul pula rakan lamanya, Harry Osborn yang bersatu dengan Electro untuk sama-sama menentangnya dan menjadikan jalan cerita lebih rumit dan banyak cabaran.

Marc Webb yang kembali mengarahkan filem itu mahu mengekalkan jalan cerita asal dan mengenai karakter sebenar watak itu yang penuh dengan kualiti dan juga sifatnya yang kelakar.

Lebih realistik

"Orang sudah kenal siapa Spider-Man dan Peter Parker namun melalui The Amazing Spider-Man 2 kami menampilkan sisi wira ini dalam bentuk yang lebih realistik dan bukan sekadar hero yang bergayut dari satu bangunan ke bangunan pencakar langit yang lain," katanya.

Jelasnya, ketelitian penulis skrip Alex Kurtzman, Roberto Orci, Jeff Pinkner dan James Vanderbilt bagi menghidupkan semua watak dalam filem ini dalam bentuk yang lebih realistik sangat mengagumkan.

"Penulis berjaya menampilkan watak yang sebenar, sama seperti yang berlaku dalam kehidupan sebenar. Pasukan ini berjaya mencipta harapan dan juga kisah yang dapat mengaitkan dengan semua orang," katanya.

Jelasnya, antara watak yang paling mencabar untuk dibangunkan ialah Electro dengan elemen elektrik dalam watak itu dan kedua untuk mencari cara untuk menjana kuasa elektrik bagi watak itu.

Menurut penyelia kesan digital filem ini pula, David Alexander Smith, watak Elektro dibangunkan dengan gabungan rangkaian saraf di dalam tubuh manusia yang membawa pencahayaan dalaman dengan membawa cas elektrik.

"Untuk membuat Elektro sebanyak 21 silikon berasingan ditampal pada badan Jamie Foxx," katanya yang menjelaskan secara keseluruhan seramai 150 pereka seni yang mengambil masa setahun untuk membina watak itu.

Dalam pada itu, menurut Marc Webb, keseluruhan filem tersebut menjalani penggambaran sepenuhnya di New York yang merupakan tempat Peter Parker lahir dan membesar seterusnya menjadi Spider-Man.

"Idea untuk menjalankan penggambaran di New York ialah untuk mencetuskan perasaan dan suasana sebenar selain mendekatkan lagi penonton dengan pengembaraan Peter Parker di bandar itu," katanya.

Menurutnya, filem terbaharu ini merupakan satu-satunya filem daripada francais Spider-Man yang menjalani penggambaran sepenuhnya di New York.

Beritahunya lagi, secara keseluruhan filem ini sangar berbeza dengan sebelumnya dari segi skop, intensiti dan juga kemanusiaan.

Beliau turut menyifatkan penulis skrip filem ini sangat bijak untuk membina karakter baharu bagi semua semua watak dalam The Amazing Spider-Man 2 supaya filem ini lebih segar.

"Ia kelihatan sangat realistik, segar namun tidak lari dari konsep asal Spider-Man kerana ia dibuat dengan lebih baik menggunakan cara baharu," katanya.

Kostum Spider-Man pula dibuat menggunakan bahan-bahan yang mudah diperoleh dan kelihatan asli. Ia juga kelihatan lebih realistik kerana mengikut jalan cerita, kostum itu dibuat sendiri oleh Peter.

Penerbitnya, Matt Tolmach memberitahu, perbezaan filem ini dengan filem sebelumnya ialah jalan ceritanya kerana dalam The Amazing Spider-Man 2, ia mengisahkan mengenai bagaimana Peter menjalankan tugas sebagai Spider-Man.

"Banyak sifat kemanusiaan di dalamnya (Spider-Man)," katanya yang bekerjasama dengan Avi Arad yang juga merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Marvel Studios dalam menerbitkan filem itu.

Sementara itu menurut Avi, The Amazing Spider-Man 2 adalah lebih baik daripada siri terdahulu selepas banyak kesilapan dilakukan sebelum ini.

Jelasnya, melalui filem ini tenaga produksi bekerja keras dan sudah faham dengan tugas masing-masing sehingga membolehkan filem ini diterbitkan dengan lancar tanpa melakukan banyak kesilapan.

"Ia adalah kerja berpasukan dan semua yang terlibat melakukannya dengan gembira," katanya.

Jamie Foxx yang kali pertama terlibat dengan Spider-Man memberitahu teruja berlakon di dalam filem tersebut kerana filem itu yang memang digemari ramai.

"Sebagai Elektro, saya mahu menjadi lawan yang menggerunkan," katanya.

Bagi Emma pula, memegang watak sebagai Gwen merupakan salah satu peranan penting di dalam filem tersebut.

"Gwen merupakan seorang wanita yang mahu menentukan hala tuju hidupnya sendiri dan tidak terlalu bergantung harap kepada sesiapa termasuk Spider-Man," katanya.