Jawatankuasa siasat kelewatan pembinaan Empangan Paya Peda ditubuhkan

08/04/2014 3:09pm

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengambil tindakan awal dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat punca kelewatan pembinaan Empangan Paya Peda, di Besut, Terengganu.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil sebelum Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 dikeluarkan.

"Kita sudah ambil tindakan, kita tidak akan berkompromi dengan perkara itu, kontraktor bertanggungjawab juga telah diberi amaran untuk menyiapkan segera projek tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan audit yang mendedahkan prestasi pembangunan Empangan Paya Peda yang lewat 18.49 peratus berbanding jadual asal.

Menurut laporan yang dibentang di Dewan Rakyat semalam, kelewatan itu disebabkan kegagalan kontraktor menepati terma kontrak.

Ismail Sabri berkata, kontraktor diberi tempoh lanjutan sehingga Jun dan sekiranya masih gagal menyiapkannya, mereka bakal berdepan tindakan tegas termasuk dibatalkan kontrak serta didenda.

"Kita tidak akan beri lagi tempoh lanjutan, mahu tidak mahu kontraktor perlu menyiapkan projek itu. Denda atau penalti akan dikenakan iaitu sebanyak RM50,000 sehari,” katanya.

Pembinaan Empangan Paya Peda bernilai RM343.5 juta berkenaan khusus bagi membantu meningkatkan keupayaan dan kecekapan pembekalan air untuk kawasan seluas 5,174 hektar kawasan jelapang padi di Besut.

Projek yang sepatutnya siap pada September tahun lepas itu juga akan berfungsi sebagai takungan air terbesar daerah untuk dimanfaatkan bagi penanaman padi. - Bernama