Momen layar perak Swedish House Mafia


MENERUSI Leave The World Behind, peminat mampu menyaksikan keletah Axwell, Steve dan Sebastian ketika membuat persiapan untuk konsert jelajah One Last Tour.


NAMA Swedish House Mafia pasti tidak asing bagi penggemar muzik tarian elektronik (EDM). Kumpulan yang terdiri daripada Axwell (atau Axel Christofer Hedfors), Steve Angello dan Sebastian Ingrosso ini pernah menggegarkan dunia EDM menerusi dua album studio dan beberapa konsert jelajah.

Namun, pada bulan Jun 2012, ketiga-tiga mereka mengumumkan bahawa konsert jelajah One Last Tour bakal menjadi konsert terakhir mereka sebelum membawa haluan masing-masing.

Menurut petikan temu bual yang dijalankan oleh portal berita Huffington Post bersama Steve, figura ini berkata, keputusan untuk ahli kumpulan itu bergerak secara solo diambil kerana mereka tidak lagi berasa gembira dengan apa yang telah dilakukan selama lapan tahun bersama.

"Saya rasa kami telah bertukar menjadi sebuah mesin yang sangat besar. Ia juga berkait rapat dengan tekanan yang datang seiring dengan kejayaan kami.

"Kami tidak berasa seronok dengan apa yang kami lakukan. Kami seperti sudah bertukar menjadi raksasa dan kami berasa sungguh penat. Kemunculan Swedish House Mafia tidak pernah dirancang. Jadi, secara santainya juga kami menamatkan perjalanan kami," ujarnya.

Selepas mengumumkan tentang pembubaran tersebut, mereka mula membuat persiapan untuk menjelajah dunia di samping menutup tirai karier yang dimulakan sejak tahun 2005 itu.

Dokumentari

Tertarik untuk menceritakan perjalanan kisah Axwell, Steve dan Sebastian dalam membuat persedian bagi persembahan konsert jelajah dunia mereka, pengarah Christian Larson mengambil kesempatan tersebut untuk merakam momen-momen akhir itu menerusi dokumentari muzikal berjudul Leave The World Behind.

Memaparkan sedutan-sedutan menarik sepanjang penganjuran konsert tersebut, filem ini turut menampilkan detik kegembiraan serta bibit-bibit kesedihan tiga rakan baik ini menghitung saat pembubaran kumpulan tersebut.


SELEPAS tamat menjelajah dunia, mereka mengambil keputusan untuk bergerak secara solo.


Konsert jelajah itu juga merupakan acara jelajah elektronik antarabangsa terbesar dengan lebih satu juta keping tiket terjual dalam masa seminggu. Antara negara-negara yang dikunjungi oleh mereka termasuklah India, Republik Czech, Singapura, Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat.

Selain memaparkan kisah mereka mencari idea bagi menulis lagu, dokumentari ini turut menyelitkan kisah mereka sebagai bapa dan suami.

Jika tidak bekerja, mereka digambarkan sebagai individu biasa yang turut mempunyai masa bermesra dan bermain dengan anak-anak.

Dalam pada itu, filem dokumentari ini turut menyorot kisah pergaduhan mereka ketika ingin menulis lagu Don't Owrry Child di Australia.

Walaupun keadaan menjadi sedikit tegang, namun ketiga-tiga mereka bijak dalam menangani masalah dalaman.

Tayangan eksklusif

Selepas ditayangkan di seluruh dunia pada bulan Mac lalu, kini tiba giliran peminat di Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman menonton filem dokumentari ini di layar perak.

Ditayangkan hanya pada 11 April ini sahaja, filem terbitan Jonas Akerlund ini hanya menemui peminat dalam satu slot tayangan iaitu pada pukul 9.30 malam di sembilan pawagam GSC yang mengambil bahagian.

Para peminat trio EDM ini boleh mendapatkan tiket-tiket menerusi GSC E-Pembayaran menerusi www.gsc.com.my, GSC Mobile App (untuk iOS dan Android) atau di kaunter tiket GSC yang turut serta.