Peranti kurangkan pemandu bunyi hon

SISTEM meter oren merupakan antara langkah bijak yang diperkenalkan bertujuan untuk mengurangkan pemandu membunyikan hon.


BUNYI hon tanpa henti merupakan perkara biasa di Mumbai, India. Sama ada pemandu bas, lori, kereta atau motosikal, semuanya gemar membunyikan hon yang seolah-olah menjadi suara pemandunya.

Ia diburukkan lagi dengan keadaan lalu lintas serta sikap segelintir pemandu yang mudah hilang sabar.

Bagaimanapun, bukan semua penduduk bandar ini suka dengan perangai pemandunya yang gemar membunyikan hon sesuka hati.

Justeru, wujud usaha pelbagai pihak untuk mengurangkan bunyi hon dalam kalangan pemandu di Mumbai sekali gus menjamin ketenangan bandar itu daripada pencemaran bunyi.

Misalnya, seorang jurutera, Jayraj Salgaonkar membangunkan sistem meter hon oren bertujuan mendidik pemandu agar tidak menekan hon sesuka hati.

Beliau yang juga aktivis antipencemaran bunyi berkata, oren merupakan sebutan penduduk tempatan yang merujuk kepada perkataan hon.

"Fungsi sistem meter ini adalah mudah. Sekiranya pemandu menekan hon melebihi had tertentu, lampu belakang kenderaan akan berkelip-kelip dan pemandu boleh disaman oleh polis trafik," ujarnya.

Jayraj memberitahu, pemandu akan diberi amaran melalui elaun hon yang berupa kad berwarna hijau, kuning dan merah. Elaun hon ini boleh ditambah seperti fungsi telefon prabayar.

Beliau berharap agar pihak berkuasa menggunakan sistem tersebut. Kini, beliau sedang membangunkan projek keduanya iaitu Program Bleep bersama rakannya, Mayur Tekchandaney.

Butang kecil

Dalam pada itu, Tekchandaney memberitahu, komponen utama Program Bleep ialah butang kecil berwarna merah yang diletakkan pada papan pemuka kereta.

Butang itu akan mengeluarkan bunyi bip yang berkelip-kelip bermakna pemandu telah menekan hon berlebihan.

Sistem ini telahpun diuji selama enam bulan terhadap 30 pemandu dan berjaya mengurangkan kira-kira 61 peratus perlakuan menekan hon dalam kalangan pemandu.


SELAIN kesesakan jalan raya, bunyi hon kenderaan menjadi punca utama pencemaran bunyi di Mumbai saban hari.


"Ia memberi manfaat kepada pemandu lain di jalan raya dan masyarakat secara amnya. Bunyi hon juga mewujudkan gangguan kepada pemandu," jelasnya.

Matlamat projek-projek tersebut mungkin merupakan cita-cita tinggi di negara yang tabiat membunyikan hon adalah perkara biasa.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antipencemaran bunyi turut melakukan kempen menerusi pengedaran pelekat dengan mesej seperti Horn OK Please dan Blow Horn.

Mesej serupa turut dilukis berwarna-warni menggunakan cat di belakang trak dan lori.

Pencemaran bunyi bising makin ketara apabila jumlah kenderaan yang bertumpu di kawasan padat Mumbai meningkat.

Dianggarkan sebanyak 900,000 kereta, 10,000 bas dan dua juta motosikal berada di jalan raya bandar yang mempunyai kira-kira 12 juta penduduk itu.

Kesesakan perkhidmatan keretapi juga menjadi penyebab penduduk tidak memilih menggunakan pengangkutan awam.

Pakar pengangkutan, Ashok Datar memberitahu, bunyi hon bukan sahaja membuatkan orang ramai sakit hati tetapi juga mewujudkan masalah kesihatan akibat tekanan.

Penyakit

"Selain hon, gabungan projek pembinaan dan perayaan keagamaan yang disambut dengan dentuman bunyi bunga api dan mercun memburukkan lagi keadaan," jelasnya.

Difahamkan, bacaan tahap bunyi di kawasan yang sibuk di Mumbai melebihi 85 desibel (dB) dan ia melanggar had yang disyorkan oleh pakar-pakar kesihatan iaitu 45 hingga 55 dB.

Kesan ini dipercayai turut menyumbang kepada punca penyakit hipertensi, kehilangan pendengaran dan sakit jantung di bandar itu.

Selain Mumbai, penduduk di bandar lain di India turut berhadapan masalah sama.

Misalnya, terdapat kumpulan yang berkempen di jalan raya di New Delhi beberapa kali sebulan dengan menampal pelekat Jangan Hon pada kereta mereka.

Penduduk di Selatan Bangalore pula telah melancarkan Kempen Tidak Menekan Hon. Kempen itu turut mendapat sokongan seorang pemain kriket India, Rahul Dravid.

Melalui kempen itu, pemandu berikrar untuk tidak membunyikan hon. - AFP