Rossa sudah ada teman baharu



CERITA Rossa dan teman lelaki tidak pernah jemu disoalkan setiap kali berjumpa, tidak kira bersama teman media dari Malaysia mahupun Indonesia. Pastinya soalan wajib itu menjadi topik ketawa si empunya nama penuh Sri Rossa Roslaina Handayani itu.

Selepas berpisah dengan bekas suaminya yang merupakan pemain drum kumpulan Padi, Surendro Prasetyo atau lebih dikenali Yoyo pada 14 Julai 2009 ramai pemuja wanita kelahiran Sumedang, Indonesia itu untuk melihat dia beroleh pengganti buat mengisi kekosongan hati yang sudah melewati tempoh lima tahun itu.

Bagi Rossa, gembira atau tidak segalanya milik dia bersama anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadan, 7 tahun. Segala kecintaan atau mekar kembangnya kasih sayang ditumpahkan sepenuhnya untuk anak lelaki yang disapa Rizki.

"Saya tidak sunyi bersendirian! Sepanjang tempoh lima tahun selepas bercerai saya tidak pernah rasa menyesal, bahkan saya punya Rizky yang senantiasa membahagiakan ibunya dan membuatkan saya ceria.

"Saya kira, kalau bernikah kali kedua pun mungkin sudah tidak sama dengan pernikahan pertama. Kali ini lebih fokus kepada anak-anak dan jauh lebih matang daripada dahulu," ujarnya yang ditemui usai mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha Atas Nama Cinta di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kerabat


SELEPAS lima tahun hidup menjanda, Rossa mengaku hatinya kini bahagia kerana sedang menikmati cinta dengan seorang duda yang merupakan usahawan dari Indonesia.


Tambah anak pertama kepada pasangan Ukas Hasan Herawan dan Eni Kusmiani itu, dia tegar berdepan dengan pelbagai spekulasi dan gosip dengan pelbagai individu di sekelilingnya sepanjang tempoh lima tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Digosip menjalinkan hubungan dengan kerabat mahupun golongan kenamaan beberapa kali, tidak pernah mematahkan dahan-dahan ketabahan yang semakin subur memeluk dirinya saban waktu.

"Banyak kali saya mendengar pelbagai cerita timbul mengaitkan saya dengan kerabat atau golongan kenamaan, tapi itu sama sekali tidak benar selagi kenyataan tidak keluar daripada mulut saya.

"Malah, cerita terbaharu yang mengaitkan saya dengan kerabat di sebuah negeri di Malaysia baru-baru ini sama sekali tidak benar. Pastinya perkenalan saya dengan mereka (kerabat) lebih erat daripada yang disangka. Sudah 15 tahun kami kenal satu sama lain, jadi tidak akan terjadi soal cinta antara kami," jelasnya.

Mengukuhkan hujah yang ditebarkan, kata Rossa dia kini sedang mengenali seorang usahawan dari Indonesia yang usianya tidak jauh beza daripadanya.

"Cinta kedua ini lebih senang. Umur pun sudah bertambah dan perangai pun tidak seperti budak-budak sekolah lagi. Masing-masing tiada halangan kerana saya solo dan dia pun solo.

"Insya-Allah kalau benar-benar ada jodoh untuk bersama saya akan maklumkan, tapi buat masa sekarang biarlah orang sekadar tahu saya dan dia sedang berkenalan," katanya mengenai lelaki berstatus duda itu.

Ditanya adakah Rossa meletakkan sebarang sasaran untuk mendirikan rumah tangga kali kedua, jawabnya tiada. Dia menegaskan tiada sebarang perancangan untuk berkahwin pada tahun ini.

Album

Dalam perkembangan lain, Rossa bakal melancarkan album ke-11 pada bulan Mei depan. Ujar Rossa album yang diberi judul Love, Life & Music itu bakal memuatkan sebanyak 11 buah lagu termasuk single hit bersama Hafiz Suip, Salahkah.


DUET Rossa bersama Hafiz untuk lagu Salahkah turut didendangkan pada persembahan menghiburkan setiausaha itu.


Menarik mengenai album itu, single pertamanya berjudul Hijrah Cinta yang dicipta oleh Melly Goeslow dan Anto Hoed merupakan tribute kepada teman rapatnya, Ustaz Uje yang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.

"Sepanjang rakaman lagu ini saya tidak henti menangis. Ustaz Uje merupakan kawan baik saya dan pernah beberapa kali kami menunaikan umrah dan haji bersama-sama.

"Sememangnya pemergian dia benar-benar memberikan kesan kepada saya. Malah, susunan semula lagu Ayat-Ayat Cinta dalam nuansa Arab merupakan idea daripadanya.

"Hijrah Cinta berkisar tentang perasaan yang lebih mendalam untuk mencintai Allah dan menjadi yang lebih baik. Lagu itu mengisahkan perjalanan hidup Ustaz Uje daripada seorang lelaki yang nakal kepada mencintai agama dengan sangat mendalam," tambah Rossa.