Popov ambil tugas Abu Bakar?

VELIZAR POPOV


AKSI Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam malam ini mungkin menjadi tugasan terakhir buat pengendali Perak, Abu Bakar Fadzim.

Menurut sumber yang enggan dikenali, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kini dalam proses terakhir untuk mendapatkan khidmat jurulatih baharu, Velizar Popov.

Sumber tersebut memberitahu, pengendali berusia 38 tahun dari Bulgaria itu dikatakan bakal memulakan tugasnya bersama Perak mulai Selasa ini apabila Perak menanti kunjungan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Perak, Ipoh.

Beliau yang pernah melatih kelab Maldives, New Radiant SC dilapor telah berada di Kuala Lumpur dan akan menyaksikan perlawanan antara Perak dan Selangor di Stadium Shah Alam malam ini.

Sumber itu berkata, apa juga keputusan pada pertemuan menentang Selangor nanti, ia akan menjadi perlawanan terakhir buat Abu Bakar.

“Namun, ini tidak bermakna tugas Abu Bakar bersama pasukan Perak akan berakhir.

“Beliau akan kekal dalam skuad tetapi tugasnya mungkin beralih sebagai jurulatih kecergasan,” kata sumber itu.

Tambah sumber berkenaan, tindakan PAFA mengambil jurulatih asing adalah satu lagi langkah untuk melonjakkan semula skuad The Bos Gaurus yang merosot teruk musim ini.

“Selain masalah ketumpulan jentera serangan, permainan Perak dilihat tidak mempunyai kelebihan daripada segi taktikal.

“Kehadiran jurulatih baharu ini diharap dapat membantu Perak mempamerkan permainan yang lebih bertenaga,” katanya.

Terdahulu, PAFA mengeluarkan kenyataan bahawa tugas Abu Bakar akan dikaji semula jika skuad bimbingannya gagal menghasilkan keputusan positif di Shah Alam malam ini.

Ini ekoran prestasi Perak yang merudum sehingga menghuni tangga tercorot liga apabila sekadar mencatat dua kemenangan sepanjang pusingan pertama Liga Super.