Tidak wajar dedahkan maklumat terkini penculikan di Semporna - KPN

12/04/2014 9:23pm

SINTOK - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan tidak wajar bagi pihaknya mendedahkan maklumat terkini mengenai kes culik dua wanita warga asing di sebuah resort di Semporna 2 April lepas.

"Saya tidak fikir wajar memberitahu anda (media) maklumat terkini mengenainya (penculikan itu) demi keselamatan mangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas Kejohanan Bola Jaring dan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Negara di Universiti Utara Malaysia, di sini hari ini.

Khamis lepas, penculik dua wanita itu menuntut wang tebusan sebanyak RM36.4 juta untuk membebaskan seorang daripada mereka, pelancong warga China.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada wang tebusan dituntut bagi seorang lagi wanita, pekerja resort warganegara Filipina.

Pelancong warga China, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dan pekerja resort

itu, Marcy Dayawan, 40, diculik dari Singgahmata Adventures and Reef Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kira-kira pukul 10.30 malam pada hari

berkenaan. - Bernama