Masih ada masa pastikan pembukaan klia2 pada 2 Mei ini

12/04/2014 10:17pm

SEPANG - Masih ada masa untuk memastikan tarikh ditetapkan bagi pembukaan klia2 pada 2 Mei ini menjadi realiti.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, klia2 selamat untuk digunakan, seperti yang dapat dilihat daripada kelancaran latihan Kesediaan Beroperasi dan Perpindahan Lapangan Terbang (ORAT).

Hishammuddin melakukan kunjungan rasmi ke klia2 hari ini dan menyaksikan latihan penuh ORAT di samping memeriksa aspek keselamatan terminal baharu itu.

Kira-kira 3,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan 1,500 orang awam dengan 700,000 bagasi terlibat dalam persediaan bagi perasmian terminal itu yang dijadualkan pada 2 Mei ini.

"Dengan penglibatan pelatih PLKN dan penumpang beberapa syarikat penerbangan hari ini, sebagai Menteri Pertahanan, saya tidak akan membenarkan pelatih khidmat negara berada di sini hari ini jika lapangan terbang ini tidak selamat," kata beliau dalam satu sidang akhbar yang juga dibuka kepada orang ramai di sini hari ini. - Bernama