Majlis tahlil di Malaysia sayu

AKRAB... Jeremy bersama Mufti Menk yang menjadi sahabat baiknya sejak dia mencetak dan mengedarkan CD ceramah mufti tersebut secara percuma.


INDUSTRI hiburan baru-baru ini dikejutkan dengan pemergian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios, Jeremy Ahmad Maikel, 31, atau lebih dikenali sebagai Jeremy Little yang meninggal dunia ketika menunaikan umrah di Mekah.

Jeremy dilaporkan meninggal dunia kerana virus kanser yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

Pemergiannya mengejutkan banyak pihak dan mendapat perhatian daripada penceramah bebas terkenal dunia yang berasal dari Zimbabwe, Mufti Ismail Menk.

Ismail menerusi laman sosial miliknya menyifatkan Jeremy merupakan insan istimewa yang telah dipilih oleh Allah untuk meninggal dunia di Mekah.

"Seorang rakan karib dan saudara saya, Jeremy Little dari Malaysia baru saja meninggal di Tanah Suci Makkah Al Mukarramah ketika mengerjakan umrah.

"Ia sebuah tempat yang cukup dirahmati untuk kembali ke pangkuan Ilahi buat pemuda yang mencetak dan mengedarkan ribuan CD saya secara percuma, setiap tahun".

Ya, barangkali bagi kebanyakan peminat hiburan tempatan, namanya agak kurang menyinar seperti bintang-bintang besar yang lain.

MENERUSI Instagram milik abangnya, Jefflaguna, dia memaklumkan bahawa jenazah Jeremy telah selamat dikebumikan di Mekah pada hujung minggu lalu.


Namun, siapa sangka di sebalik nama-nama besar seperti Seven Collar t-Shirt, Guba dan Pure Vibra- cion, insan bernama Jeremy merupakan tulang belakang dalam kejayaan mereka.

Pernah menganggotai anggota kumpulan indie, Prana pada tahun 1999, Jeremy sememangnya terkenal dalam kalangan peminat muzik underground tempatan.

Popular menerusi lagu seperti Bird Song, Better Than That dan What You Need, Prana pernah menggondol Anugerah Muzik Malaysia dalam kategori Artis Inggeris terbaik pada tahun 2002.

Jeremy juga merupakan salah seorang penerbit filem KIL yang pernah menggondol empat anugerah termasuk Lakon Layar Terbaik, Lakon Layar Terbaik pada Anugerah Skrin 2013 tahun lalu.

Menghormati pemergiannya yang dikebumikan di kota suci Mekah, sebuah majlis tahlil telah diadakan di Masjid As-Syakirin, KLCC. Ia telah dibanjiri oleh ramai rakan artis yang memberi penghormatan dan mendoakan kesejahteraan arwah.

Menangisi kehilangan Jeremy ialah rakan seperjuangannya, Jason Lo.

Jason berkata, pemergian Jeremy merupakan sesuatu yang di luar jangkaan.

"Dia tidak pernah bercerita mengenai penyakitnya, malah sifat periangnya sangat menampakkan dia seorang yang tabah melalui kesukaran dalam hidup. Bagi saya, dia merupakan sahabat paling baik yang pernah saya jumpa.



"Sebelum ini dia merupakan seorang yang cekal, terutamanya dalam melawan penyakit kanser ini. Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah, dia sihat sahaja," katanya ketika ditemui pada majlis tahlil Jeremy di Masjid As-Syakirin, KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jason menambah, banyak memori dan pengalaman yang dicipta bersama rakan baiknya itu sama ada dari segi perjuangan muzik dan ideologi.

"Walaupun kami memiliki syarikat yang berlainan dan merupakan pesaing, dia tidak mempunyai hasad dengki, malah sentiasa memberi sokongan demi kemajuan muzik underground tempatan.

"Kami sama-sama susah-senang menaikkan industri muzik underground tempatan yang suatu ketika dahulu masih belum popular. Saya rasa amat kehilangan dengan permergiannya," ujar pemilik syarikat rakaman Fat Boy Records itu.

Dalam pada itu, Aizat yang turut hadir pada majlis tersebut melahirkan perasaan simpatinya.

Aizat berkata, Jeremy merupakan seorang yang sangat bersungguh-sungguh apabila melibatkan hal berkaitan kerja.

"Saya mula mengenalinya sejak empat tahun lalu ketika merakamkan album kedua saya di studionya di Jalan Ampang. Bagi saya, dia merupakan seorang yang komited dengan kerjayanya.

"Dia juga sentiasa memberi idea-idea bernas untuk kemajuan dan penambah baikan dari segi susunan lirik dan saya sangat senang bekerja bersamanya," ujar pelantun lagu Sungai Lui itu.

Selain Aizat, rakan artis lain yang kelihatan hadir pada majlis tahlil tersebut ialah Bront Palarae, Redza Minhat, Iqram Dinzly, Liyana Fizi dan Diandra Arjundi.