Jejak bertapak Moudini di Malaysia



BERBEKAL sebuah topi berwarna hitam, dia dilihat melambungkan objek berkenaan ke udara beberapa kali. Ligat tangannya beraksi, Mahdi Moudini, 35, tidak pernah lekang memberikan senyuman kepada penonton.

Selepas beberapa saat 'berinteraksi' dengan topi berkenaan, dengan tidak semena-mena, dia dilihat mengeluarkan beberapa ekor burung merpati yang berlainan warna. Teruja dengan persembahan tersebut, para penonton yang hadir kedengaran bersorak sambil bertepuk tangan.

Begitulah aksi yang dipersembahkan oleh Mahdi pada majlis penyampaian anugerah Tokoh Merlin dan Best Illusionist in Malaysia 2014 menerusi Merlin Award di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengasas Merlin Award, Tony Hassini.

Berhasrat mengajar kemahiran serta ilmu silap mata yang ada padanya kepada dua orang cahaya matanya, Mahdi turut bercita-cita mahu melihat ilmu tersebut diperturunkan serta diwarisi oleh beberapa generasi Moudini akan datang.

Turun ilmu

"Sejak berusia lima tahun, saya telah mula mempelajari ilmu silap mata yang diperturunkan oleh datuk dan ayah saya. Pada usia itu juga, saya telah mula berjinak-jinak dengan persembahan di atas pentas.

"Oleh yang demikian, saya mahu melihat anak-anak saya turut mewarisi kemahiran yang serupa supaya ilmu tersebut tidak terputus tanpa dipelajari oleh ahli keluarga yang lain," ujar Mahdi ketika ditemui usai majlis penyampaian anugerah tersebut.


AKSI spontan Mahdi melakukan ilusi silap mata bersama pelakon Betty Banafe (kiri) dan Annahita Bakavoli.


Bagaimanapun, hasratnya itu bukanlah berbentuk paksaan, malah lebih kepada galakan masa lapang selepas Marcheline dan adik lelakinya, Maddix Moudini, 3, pulang daripada sekolah.

"Saya hanya menggalakkan mereka untuk mempelajari teknik-teknik silap mata pada masa terluang sahaja. Sebagai contoh, selepas mereka pulang dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah yang diberikan kepada mereka.

"Jika suatu hari nanti mereka mahu bertukar selera atau bidang, saya perlu akur dengan kehendak itu. Tetapi, setakat ini, mereka gembira dengan apa yang dipelajari dan sentiasa ingin mencuba belajar sesuatu yang baharu," ujar Mahdi yang begitu menginginkan salah seorang daripada anaknya bakal menjadi generasi kelima Moudini yang arif dalam bidang silap mata.

Sama seperti anak-anaknya, Mahdi mendapat pendedahan awal dalam bidang ilusi silap mata menerusi bapanya, Ismail Moudini. Selain itu, dia turut menjadikan datuknya, Ibrahim Moudini sebagai sumber inspirasi untuk terus berusaha dan mengukir nama dalam bidang tersebut.

Selepas tamat menjalani latihan ketenteraan di kampung halamannya, anak jati kelahiran Karaj, Iran ini mengambil keputusan untuk mengembara dan mencari platform yang lebih sesuai bagi mengembangkan kemahirannya dalam mempersembahkan ilusi silap mata.

Malaysia negara selamat

"Ketika itu saya berusia 18 tahun. Saya dan seorang rakan mengambil keputusan untuk terbang ke Jepun bagi mengembangkan karier di sana. Tetapi, disebabkan masalah visa, saya terpaksa singgah ke Kuala Lumpur bagi memohon visa yang lain sebelum meneruskan perjalanan ke Jepun.

"Bagaimanapun, ketika berada di lapangan terbang, saya melihat seorang pemandu teksi telah memulangkan beg kepunyaan penumpangnya yang tertinggal di dalam kenderaannya.


MAHDI dani sterinya, Mahdis Aqilah Goh berhasrat untuk melihat anak mereka iaitu Marcheline dan adik lelakinya, Maddix berjaya dalam bidang silap mata suatu hari nanti.


"Di situ, saya lihat Malaysia merupakan sebuah negara yang selamat dan terus mengambil keputusan untuk bermaustautin di sini," ujar Mahdi sambil menyifatkan Kuala Lumpur juga merupakan sebuah platform yang sesuai untuk memperkembangkan profesyennya sebagai ahli ilusi silap mata.

Setelah berada di Kuala Lumpur selama lebih dua minggu, Mahdi kemudiannya ditawarkan untuk membuat persembahan dan menjadi ahli silap mata residen di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

"Ketika membuat persembahan buat pertama kalinya di Kuala Lumpur, sambutan yang diterima sungguh menggalakkan. Saya tidak pernah mendapat sambutan serupa ini ketika mengadakan persembahan di Iran.

"Sehingga sekarang, sambutan yang diterima tidak pernah hambar. Malah, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak serta mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menyukai persembahan saya," ujar Mahdi lagi.

Persembahan berskala besar

Melanjutkan perbualan, Mahdi yang menerima anugerah Tokoh Merlin buat kali yang ketiga berkata, dia bercita-cita mahu membuat sebuah ilusi terbesar yang melibatkan pesawat dan lapangan terbang.

Impian tersebut telah dipasang sekian lama. Mahdi membayangkan dia akan menaiki pesawat dari satu lokasi menuju satu destinasi yang tidak dinyatakan, namun dirinya akan berada di destinasi tersebut sebelum pesawat tiba di sana.

Malangnya, setelah apa yang berlaku ke atas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 baru-baru ini, Mahdi yang berkebolehan untuk melakukan sebanyak 1,000 ilusi silap mata ini mengambil keputusan untuk menangguhkan hasratnya itu.

Bagaimanapun, Mahdi berpendapat bahawa dia akan berusaha untuk melakukan persembahan itu dalam masa yang terdekat ini.


MEMUKAU. Selain kanak-kanak, persembahan Mahdi turut mendapat perhatian golongan dewasa.


Suka bersukan

Bercerita mengenai kehidupannya di belakang tabir, Mahdi memberitahu, dia merupakan seorang individu yang gemar bersukan serta menjaga kesihatan.

"Untuk menjadi seorang ahli silap mata, kita perlu menjaga kesihatan badan dan mengekalkan bentuk tubuh yang ideal. Ini kerana, setiap ilusi yang ekstrim menuntut pergerakan tubuh yang fleksibel.

"Justeru, bagi mendapatkan bentuk tubuh yang ideal, saya sering berjoging selama 90 minit setiap kali selepas selesai solat Subuh. Selain itu, saya juga melakukan senam perut sit-up sebanyak 3,000 kali setiap hari," ujarnya lagi.