Tempoh dua tahun Maya Karin



MAYA KARIN tidak perlu terlalu beria-ia untuk menampakkan sisi yang sempurna. Santai dan bersahaja, namun itu sudah cukup memberikan efek pesona.

Wanita berumur 34 tahun itu kelihatan lebih segar, muda dan ceria di sebalik potongan rambut paras bahu sejak awal tahun. Dia kini tampak lebih muda. Malah pelakon yang baru sahaja muncul dengan filem Sejoli itu semakin serasi dengan penampilannya.

"Sengaja saya potong rambut agak pendek. Ini gaya rambut paling pendek sejak tujuh tahun lalu. Lagi pun kontrak saya sebagai jurucakap satu jenama kosmetik antarabangsa sudah tamat hujung tahun lalu, saya pun dah rimas sangat asyik kena simpan rambut panjang," katanya yang bergelar duta produk itu sejak 2006.

Dari satu sisi yang lain, produk atau material di pasaran ialah bukti kelangsungan karier seseorang artis. Material yang paling mengesankan dalam karier Maya pula bukanlah produk yang dijajanya sebagai duta mahupun jurucakap, sebalik persembahan bakat yang mendapat tempat mata khalayak.

Lebih dikenali sebagai pelakon, kali ini Maya mahu dilihat sesegar kelopak yang kembang di pagi hari. Dia mahu penampilannya itu turut bercerita tentang Teka-Teki yang melantun-lantun di corong-corong radio ketika ini.

Kembali menyanyi

"Sebenarnya ini penampilan saya untuk album terbaharu saya, Teka-Teki yang baru sahaja dilancarkan, Jumaat lalu," ungkap Maya tersenyum.

Dia lega kerana akhirnya setelah sekian lama menanti, sebuah album yang dicita-citakan berjaya juga diterbitkan. Dalam tempoh sejak 24 Mac lalu, Maya hanya mampu bersabar dan menghitung waktu untuk membuktikan keseriusan bergelar penyanyi.

"Ikut perancangan asal, album dan persembahan Teka-Teki dilancarkan pada 24 Mac, tetapi sebagai masyarakat Malaysia, kita perlu akur dan menunjuk rasa hormat dan sensitif dengan kesedihan ramai akibat MH370.

MAYA KARIN mengakui karier nyanyiannya tidak sama tinggi dengan lakonan. Dia juga berasa kerdil berbanding penyanyi lain, namun sokongan serta dorongan daripada nama-nama besar dalam seni muzik menjadikan semangat dan keyakinannya meneruskan bidang nyanyian semakin menebal.


"Sebelum Jumaat lalu, kita juga rancang untuk lancarkan pada 1 April, tetapi ditunda juga. Penundaan itu agak merisaukan sebab single Teka-Teki sudah dilancarkan. Semasa lagu itu mula hendak dapat perhatian, suasana pula jadi gelap, tapi tak mengapa, saya mendapat keyakinan yang tinggi daripada peminat dan pendengar," katanya tentang keresahan awalnya sebelum Teka-Teki semakin mendapat tempat pada telinga pendengar.

Memilih Teka-Teki untuk mengembalikan ingatan peminat bahawa Maya Karin juga seorang penyanyi, penerima anugerah Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik serta dua kali menyandang Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia itu akur, karier nyanyiannya jauh terkebelakang berbanding lakonan.

Kehadiran Teka-Teki menjadikan karya itu album ketiga Maya Karin sejak dia bertapak dalam industri hiburan tanah air kira-kira 11 tahun lalu. Namun, setiap kali hendak kembali menyanyi, dia harus mencuba dan mengumpulkan segala tenaga bermula dari 'kosong'.

"Dahulu saya pernah rasa kecewa, sekarang saya faham bahawa inilah ketentuan karier walaupun saya sebenarnya bermula dengan nyanyian. Saya membesar dengan lagu-lagu klasik, jazz, belajar piano sejak kecil.

"Semasa mula-mula bertandang di Kuala Lumpur semasa umur 18 tahun, saya pernah menyanyi di kelab-kelab jazz. Tapi entah bagaimana, lakonan pula yang menonjol," katanya memperoleh keyakinan untuk menyanyi hasil tunjuk ajar nama-nama besar dalam industri seperti Audi Mok dan Michael Veerappan.

Tunggu lamaran kekasih

Kongsi Maya lagi, biarpun sudah lama bergelar penyanyi, rasa kekok ada ketikanya bersarang dalam hati. Aktiviti seni yang lebih fokus ke arah lakonan juga menjadikan Maya lebih berhati-hati di atas pentas.

"Dahulu saya menyanyi tanpa rasa takut langsung, kemudian saya masuk ke dunia artis. Ketika itu, perhatian yang datang kepada saya lebih besar berbanding pencapaian. Hal-hal begitu yang memberi tekanan. Sekarang saya okey, lebih-lebih lagi selepas terlibat dengan Super Mokh The Musical. Saya kena berlakon dan menyanyi dengan Awie atas panggung Istana Budaya. Dua hari sebelum pementasan, saya macam hendak pitam, berdebar dan takut. Tapi selepas Michael Veerappan kata okey, barulah saya lega," ceritanya teruja.



Semakin meningkat usia, semakin matang juga dalam industri, selebriti berdarah kacukan Melayu-Jerman itu berasakan kehidupan tidak semestinya memihak ke arah kebahagiaan semata-mata.

Kegagalan dalam perkahwinan bersama Muhammad Ali Abdullah atau nama asalnya Steven David Shorthose juga antara titik penting kepada kehidupan Maya. Sejak bercerai pada 2010, empat tahun menjanda, status yang diusung oleh 'Izzah Ombak Rindu' itu juga membuatkan Maya tidak terlepas daripada persoalan cinta dan jodoh.

"Saya pun macam dalam lirik lagu saya juga, lagu Teka-Teki itu tentang pencarian hidup, tentang rahsia-rahsia yang belum menemukan jawapan.

"Saya mengaku, saya memang sedang memiliki 'si dia', tetapi siapa dia dan dari mana asalnya, saya mahu zip mulut dulu. Cukup setakat itu," laju sahaja Maya mengiakan dan menutup desas-desus tentang perhubungan istimewa yang sedang dijalin bersama seseorang ketika ini.

Bicara cinta ternyata tidak mahu dipanjangkan. Maya sendiri pernah menafikan bahawa lelaki Inggeris yang dilihat bersamanya dalam sebuah acara di ibu kota baru-baru ini sebagai kekasih baharunya seperti yang dimaksud selama ini.

Di sebalik privasi yang masih dikunci kemas, Maya berkongsi sebuah harapan.

"Kita tengoklah sejauh mana hubungan ini akan berterusan. Saya tunggu sehingga dua tahun sahaja lagi, kalau masih tidak ke mana, saya akan cari bahagia yang lain. Nak tunggu sampai umur berapa lagi, saya pun mahu kahwin," terang dan bernas jawab Maya saat ditanya tentang tempoh 'solo' serta keseriusan perhubungan dengan 'si dia' itu.