Polis Kelantan tumpas sindiket judi dalam talian

24/04/2014 9:29pm

KOTA BHARU - Polis Kelantan menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dipercayai didalangi seorang pengurus pusat siber di Jalan Kuala Krai di sini, malam tadi, dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM100,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, serbuan di pusat siber itu dilakukan hasil maklumat orang ramai dan risikan yang dilakukan pihak polis.

"Sindiket ini berselindung di sebalik operasi pusat siber yang dijalankan sejak setahun yang lepas. Semasa serbuan dibuat terdapat empat lelaki yang bekerja sebagai pembantu di premis itu, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Yong Heng berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas 24 set komputer dan satu set komputer kawalan utama yang turut memaparkan permainan yang disyaki berunsur perjudian.

"Kita turut merampas sebuah monitor televisyen litar tertutup (CCTV), enam kamera CCTV, lima set modem wi-fi, 34 kerusi, enam bangku panjang, 14 meja dan satu unit papan tanda LED, katanya.

Katanya, kes itu merupakan yang pertama berlaku di Kota Baharu dan pihak polis sedang mempergiat usaha untuk membanteras kegiatan berkenaan.

Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut. - Bernama