Korea Utara lancar latihan peluru berpandu hidup di sempadan maritim

29/04/2014 7:39pm

SEOUL - Korea Utara melancarkan latihan ketenteraan menggunakan peluru berpandu berhampiran sempadan maritim dengan Korea Selatan pada hari ini, beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bertindak mengecam Pyongyang sebagai provokatif dalam rangka lawatannya di Asia.

Latihan sama turut dilancarkan bulan lalu, dengan serpihan kelongsong peluru berpandu ditemui di sempadan Korea Selatan dan ia sekali gus menyaksikan kedua-dua negara saling berbalas tembakan ke perairan wilayah masing-masing.

Seoul dalam kenyataannya pada hari ini memberi amaran bahawa ia akan bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang melanggar sempadannya.

Korea Utara telah memberi notis terlebih dahulu berkenaan pelancaran peluru itu yang bermula sekitar 2 petang waktu tempatan, menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

"Ia berlangsung selama kira-kira 10 minit dan 50 peluru telah dilepaskan. Tiada peluru yang mendarat di Korea Selatan," kata seorang jurucakap kementerian itu.

Penduduk Korea Selatan yang mendiami pulau di sempadan Yeonpyeong dan Baengnyeong dinasihatkan untuk berpindah ke tempat perlindungan awam, manakala pemerintah Korea Selatan telah mengarahkan sekurang-kurangnya empat jet pejuang untuk meronda kawasan tersebut.

Disifatkan sebagai provokasi Korea Utara, beberapa pihak mengecam latihan ketenteraan itu.

"Segala yang dilakukan Korea Utara itu menakutkan pelanggan saya dan sekali gus mengakibatkan tiada sesiapa berani untuk tinggal di rumah penginapan saya ini. Saya mungkin akan mati akibat kerugian perniagaan berbanding terkena serangan dari Korea Utara," kata seorang pengusaha penginapan di Pulau Baengnyeong.

Tembakan peluru itu menguatkan kebimbangan bahawa Korea Utara sedang bersiap sedia untuk melancarkan letupan bom atom keempat, dengan imej satelit terbaru menunjukkan aktiviti tersebut semakin giat dijalankan di tapak ujian nuklear utamanya.

Kejadian itu juga berlaku berikutan lawatan Obama ke Seoul minggu lalu sebagai sebahagian daripada lawatan Asia empat negara yang berakhir di Manila hari ini.

Obama telah menimbulkan kemarahan Pyongyang kerana mendesak Korea Utara meninggalkan program senjata nuklearnya selain mengancam sekatan yang lebih ketat dikuatkuasakan jika ujian nuklear tersebut diteruskan. - AFP