Enam mat rempit bebas tuduhan bunuh

29/04/2014 8:37pm

SHAH ALAM - "Kembalilah ke pangkal jalan," kata Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Alim Abdullah sebelum melepas dan membebaskan enam mat rempit daripada tuduhan membunuh seorang lelaki, tiga tahun lepas.

Beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pihak pembelaan yang berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohd. Ezwan Amanshah, 26, Mazly Sulaiman, 24, Abdul Rahman Abdul Latif, 24, dan tiga remaja lelaki masing-masing berumur 20 dan 21 tahun didakwa bersama-sama membunuh R. Sasikumar, 21, di kawasan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang dekat sini pada kira-kira pukul 3 pagi, 18 September 2011.

Ketika kejadian, tiga remaja itu berumur 17 dan 18 tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama