Pengembaraan di Era Mesozoik



KEADAAN gelap dalam ruang pameran Dinoscovery by Dinosaurs Live! pada awalnya jelas menimbulkan rasa takut kepada pengunjung terutamanya kanak-kanak. Perasaan takut mulai hilang sebaik mereka diberikan peta yang digunakan oleh ahli paleontologi (pengkaji fosil haiwan). Peta itu merupakan petunjuk untuk melakukan 15 aktiviti interaktif.

Sebelum meneroka ke era Mesozoik iaitu bermula 230 juta tahun hingga 63 juta tahun lalu itu, pengunjung diberi peluang untuk menyaksikan tayangan video mengenai kehidupan dinosaur.

Melalui tayangan itu, pengunjung diberikan gambaran awal mengenai habitat dan spesies dinosaur yang terdapat sepanjang pameran yang berlangsung sehingga bulan Februari 2015.

Menariknya mengenai pameran Dinoscovery by Dinosaurs Live! ialah pengunjung diberikan tag pengenalan radio berfrekuensi seperti gelang yang dipakai pada tangan pengunjung.

Setiap pengunjung boleh mengimbaskan gelang getah itu pada setiap titik semakan untuk mendapat informasi dan jawapan persoalan mengenai spesies dinosaur.

Seorang pengunjung, Jacqui Burgess memberitahu, Dinoscovery by Dinosaurs Live! merupakan pameran kedua yang dikunjungi oleh keluarganya sejak menetap di ibu negara, tiga tahun lalu.

Dia yang datang bersama dua orang anaknya, Dominic Burgess, 7, dan Sophie Burgess, 6, menyifatkan Dinoscovery by Dinosaurs Live! merupakan destinasi terbaik untuk kanak-kanak memperoleh informasi mengenai dinosaur.


AKSI riang kanak-kanak ke pameran ini yang menjadi tumpuan lensa jurugambar.


Konsep

“Konsep pameran ini lebih interaktif. Dominic menggemari aktiviti lumba lari dengan dinosaur spesies Velociraptor yang dilengkapi dengan sistem sensor di trek sepanjang 10 meter. Informasi dan aktiviti untuk kanak-kanak dalam meneroka dunia dinosaur disediakan dengan teknologi canggih,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di pameran tersebut di pusat beli-belah Avenue K, ibu negara baru-baru ini.

Pameran tersebut mempamerkan karakter dinosaur yang direka semula berlatarbelakangkan set pengembaraan di habitat sebenar.

Pengunjung dibekalkan lampu kepala untuk memudahkan perjalanan dan melakukan tugasan dalam kegelapan ruang pameran.

Berpandukan peta dan tag pengenalan radio berfrekuensi, ia merupakan komponen penting bagi pengunjung untuk meneruskan pengembaraan dalam pameran itu. Setiap titik semakan mempunyai soalan yang harus diselesaikan oleh pengunjung.

Tampil dengan tema Calling All Cavepeople, pameran itu juga mempamerkan rekaan patung dinosaur yang kelihatan seperti hidup malah ada yang bergerak apabila disentuh.

Setiap persinggahan pengunjung di pameran yang berkeluasan 1,208 meter persegi itu menyediakan informasi lengkap mengenai hidupan dinosaur. Sebagai contoh, kanak-kanak mengembara menyelamatkan dinosaur dengan menembak haiwan perosak, menggali kawasan berpasir mencari fosil dan mempelajari tekstur bahan buangan haiwan reptilia itu.

Dinoscovery by Dinosaurs Live! menjadi salah satu destinasi wajib dikunjungi oleh para pelancong di ibu negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 kerana pameran itu mendapat sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.


MAKLUMAT lengkap mengenai spesies dinosaur disediakan kepada pengunjung sehingga garisan penamat.


Tarikan utama

Tarikan utama untuk pengunjung di pameran edutainment itu ialah Dino Quest, paintball menembak nyamuk yang mengganggu spesies Diplodocus, memanjat dinding untuk melihat telur spesies Pteranodon yang tergantung dan mempelajari cara Ankylosaurus mempertahankan diri.

Selain aktiviti, setiap maklumat yang disampaikan secara santai dan interaktif ternyata menarik minat kanak-kanak untuk meneruskan pengembaraan sehingga ke garisan penamat.

Pameran itu dibawakan oleh EMS Holdings Pte. Ltd. (EMS) yang merupakan pemilik dan pengeluar acara hiburan terkemuka dunia.

Pengerusi EMS, Datuk Jared Lim memberitahu, pameran yang mendapat kerjasama Avenue K dan Malaysia Major Events itu diharapkan menjadikan tapak Discoveria sebagai destinasi tumpuan pelancongan di Malaysia.

“Lokasi Avenue K yang terletak berhadapan Menara Berkembar Petronas menjadikan Dinoscovery by Dinosaurs Live! sebagai satu alternatif lain kepada pelancong di ibu negara.

“Sejak dibuka kepada orang ramai sebulan lalu, pameran ini berjaya menarik pelancong dari luar negara terutamanya China dan Indonesia. Idea seperti pameran ini telah dilakukan di Eropah dan Amerika Syarikat sejak 20 tahun lalu. Dinoscovery by Dinosaurs Live! merupakan pameran pertama di rantau Asia Tenggara,” ujarnya pada sidang akhbar selepas pelancaran pameran tersebut baru-baru ini.

Turut hadir dalam acara pelancaran pameran itu ialah Pengarah Urusan EMS dari Singapura, Greg Suzuki. Para tetamu, ibu bapa dan kanak-kanak yang hadir turut dihiburkan oleh lima orang pelakon rancangan televisyen kanak-kanak popular dari Australia iaitu Hi-5.

Tambah Jared, pihaknya menjangkakan seramai 200,000 pengunjung berkunjung ke pameran tersebut sehingga Februari tahun depan.

AKTIVITI memanjat dinding untuk melihat sarang Pteranodon merupakan cabaran yang harus dilalui oleh pengunjung.


Objektif pameran Dinoscovery by Dinosaurs Live! ialah untuk menggalakkan golongan dewasa atau kanak-kanak mendapatkan maklumat dengan kaedah interaktif. Aktiviti yang mencabar itu juga mencambahkan minat kanak-kanak terhadap hidupan yang telah pupus itu.

Melihat kepada struktur rekaan patung dinosaur yang dibina di Filipina dan China itu, pengunjung pastinya berasa gerun kerana ia seolah-olah seperti hidup.

Kanak-kanak juga boleh menyertai peraduan mewarna dengan menggunakan kelengkapan warna yang ditaja oleh Staedtler selepas mengembara di dalam ruangan pameran. Buku Junior Paleontologist Handbook turut dijual kepada pengunjung sebagai satu langkah terbaik untuk kanak-kanak mengulang kaji pembelajaran yang diperoleh pada pameran itu.

Menurut Greg, konsep pameran itu akan dibawa dan dipamerkan di beberapa bandar raya di Jepun antaranya, Hiroshima, Osaka, Tokyo dan Nagoya.

Selain kanak-kanak, golongan dewasa juga boleh melakukan setiap aktiviti di Dinoscovery by Dinosaurs Live! dengan bantuan pembantu di setiap titik semak.