Laman web porno ancam moral awam

HUBUNGAN sulit dalam kalangan mereka yang sudah berkahwin merupakan kepincangan moral. - Gambar hiasan


HUBUNGAN seks luar nikah atau penzinaan bukan satu amalan yang diterima secara terbuka di Korea Selatan.

Walaupun menjadi antara negara termaju di benua Asia, soal sosiobudaya dan norma masyarakat sangat dijaga malah seseorang boleh dipenjarakan sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan melakukan seks luar nikah.

Undang-undang negara itu yang disifatkan konservatif oleh Barat telah tercabar dengan pelancaran sebuah laman web lucah di negara tersebut pada bulan lalu yang berpangkalan di Kanada.

Laman web porno itu mempunyai lebih 25 juta pelanggan dari 35 buah negara.

Laman web tersebut dilihat tidak mempunyai perkaitan dengan undang-undang di negara berkenaan, namun slogannya, Hidup ini singkat, jalinlah hubungan secara sulit secara tidak langsung menyeru pengikutnya untuk menjalinkan hubungan sulit dengan sesiapa sahaja selain daripada pasangan yang sah.

Diharamkan

Pegawai Eksekutif laman porno tersebut, Noel Biderman menyasarkan keahlian kira-kira 500,000 orang atau satu peratus daripada jumlah penduduk Korea Selatan untuk menyertai laman web itu.

"Dalam tempoh seminggu, seramai 46,000 orang telah mendaftar untuk menyertai kami.

"Negara ini mengamalkan undang-undang yang ketinggalan zaman. Ramai yang takutkannya dan tidak menghadiri majlis pelancaran kami," katanya.

Pelancaran laman porno tersebut di Korea Selatan dikenakan syarat statut 1953 berkaitan dengan jenayah lucah.

Laman porno itu sudah menapak di Asia kerana sudah dilancarkan di beberapa negara seperti Jepun, India, dan Hong Kong.

Seperti Korea Selatan, Singapura juga begitu konservatif dalam hal berkaitan sosio budayanya terutama yang melibatkan penggunaan internet.

Pihak Berkuasa Pembangunan Media Singapura telah mengharamkan laman web itu pada November lalu kerana menyifatkannya sebagai satu ancaman terhadap nilai-nilai keluarga dan moral awam.

Korea Selatan pula telah memadam kira-kira 23,000 laman web tempatan dan 63,000 laman web luar negara telah disekat atas arahan Suruhanjaya Standart Komunikasi Korea (KCSC), sebuah badan yang dilantik oleh kerajaan negara itu.

Laman web yang disekat memfokuskan aktiviti pornografi, pelacuran dan perjudian.

Menurut seorang pegawainya, Song Myung-Hoon, KCSC kini dalam proses memantau laman web tersebut untuk mengenal pasti sebarang aktiviti yang boleh disabitkan dengan undang-undang di negara itu sejak ia dilancarkan.

"Kita tahu laman ini bermasalah dan sedang membincangkan secara khusus tentang perkara yang perlu dilakukan dengannya kerana secara lahiriahnya web ini tidak boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah," jelas Myung-Hoon.


KOREA SELATAN adalah antara negara maju yang masih mengamalkan budaya yang ketat dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan.


Apabila aduan dilakukan, seseorang pesalah akan didakwa dan perkara tersebut akan dilupakan sebaik sahaja plaintif dijatuhkan hukuman.

Pada tahun 2004 seramai 216 pesalah dipenjarakan atas kesalahan berkaitan manakala pada tahun 2008, bilangannya menurun kepada 42 orang sahaja.

Undang-undang tersebut masih belum dipinda walaupun telah banyak rujukan yang dibuat untuk semakan kepada Mahkamah Perlembagaan negara itu dan tiada satu suara yang kuat untuk memindanya.

Seorang paderi telah dipenjarakan tiga tahun lalu setelah seorang lelaki mengemukakan aduan bahawa paderi tersebut telah menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya. Paderi tersebut pernah menjadi perasmi majlis perkahwinan pasangan tersebut dan dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan.

Jenayah zina

Sementara itu, kumpulan aktivis konservatif, Kesedaran Sivik dan Keluarga Sihat Seoul telah mengutuk laman web porno versi bahasa Korea yang dilancarkan di negara mereka.

Salah seorang ahlinya, Lee Kum-Sook berkata, perkara tersebut sama sekali tidak masuk akal, sama ada dari segi undang-undang atau moral.

"Perbuatan zina adalah satu jenayah yang boleh dihukum di sini.

"Walaupun ada yang melakukannya secara rahsia, mempromosikannya secara terbuka di internet akan membuatkan masalah bertambah parah," ujar Kum-Sook.

Biderman pula menggunakan alasan wujudnya hubungan sulit dalam kalangan orang yang sudah berkahwin untuk membawa laman web porno itu di negara tersebut.

Dia juga menafikan bahawa laman web itu bertanggungjawab dalam isu golongan isteri yang curang dengan teman baharu yang ditemui dalam laman tersebut.

"Mereka tetap menjalinkan hubungan sulit sama ada secara terbuka atau rahsia. Jadi mengapa kita tidak memberikan mereka satu jalan yang mudah untuk mereka lakukannya?

"Laman ini sebagai alternatif kepada mereka. Sebarang masalah di tempat kerja yang berlaku seperti penghinaan dan pemecatan atau sebarang tindakan yang diambil, kami akan melindungi mereka di luar mahkamah," jelas Biderman. - AFP