'Kalau boleh, apa salahnya?'

RANGEL 9 (tengah) sudah meledak 10 gol dalam kempen Liga Super bersama Selangor musim ini.


JURULATIH Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan jika penyerang import Selangor, Paulo Rangel berhajat menukar status kewarganegaraan demi hasrat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Kim Swee mendedahkan, kemasukan Rangel ke skuad Harimau Malaya bakal menambah lebih sengat di jentera serangan sebagaimana bintang skuad Gergasi Merah itu telah meledak 10 gol dalam 13 penampilan Liga Super musim ini.

Jelas pengendali kelahiran Melaka itu, beliau percaya kehadiran pemain Brazil itu (jika berjaya dinaturalisasikan), bakal memberikan satu perkembangan cukup baik kepada bola sepak negara.

“Jika dia (Rangel) memenuhi kriteria (yang ditetapkan oleh FIFA) untuk melayakkan diri menyarung jersi skuad negara, saya fikir ia bukan satu masalah.

“Saya percaya dengan kualiti yang ada pada dia, ia akan memberikan perkembangan cukup baik kepada pasukan kebangsaan.

“Apa yang pasti, saya mengalu-alukan kedatangan Rangel jika dia berminat untuk beraksi bersama skuad negara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Semalam, Rangel, 29, menyatakan kesediaannya untuk menyertai skuad negara apabila ramai pemerhati bola sepak menggangap bekas pemain Perak itu layak diberikan peluang untuk bersama skuad Harimau Malaya berdasarkan prestasi cemerlang musim ini.

Rangel menerusi laman sosial Instagram, berkata: “Selamat tengahari semua. (Saya) sangat gembira dengan laporan (mengaitkan saya dengan Harimau Malaya).

“Sudah tentu ia satu kebanggaan untuk membantu Malaysia selain membuka pintu kepada saya dan keluarga saya untuk memiliki status kewarnegaraan Malaysia. Terima kasih atas sokongan semua.”

Bagaimanapun, isu naturalisasi boleh dianggap perkara sensitif dalam kalangan sesetengah pemerhati bola sepak tempatan.

Ini kerana ‘taktik’ ini dilihat mencerminkan betapa rendah martabat pembangunan bola sepak peringkat akar umbi sehingga memaksa negara mengambil pemain luar.

Mengulas mengenai isu tersebut, pemenang pingat emas Sukan SEA 2011 itu memiliki alasan yang tersendiri.

“Jika anda mahukan kemajuan dalam masa lima tahun dengan segera, kemasukan pemain-pemain naturalisasi mampu memberikan manfaaat kepada skuad kebangsaan.

“Lihat Filipina, mereka tidak ke mana dalam tempoh lima tahun dulu tetapi mereka mengambil sikap positif dengan mengambil pemain-pemain luar negara.

“Hasilnya, bola sepak mereka bertambah maju. Untuk jangka masa panjang, kita sudah ada Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Saya percaya akan mendapat hasil selepas 15 tahun akan datang,” kata Kim Swee.