Malaysia bakal terlepas tujuh emas

"Saya kecewa karate tetap ditolak Singapura."
Demikian komen Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila Singapura tetap tidak memasukkan acara karate pada Sukan SEA 2015.

Menurutnya, keputusan tersebut menipiskan peluang Malaysia membawa pulang lebih banyak pingat kerana ia adalah salah satu sukan prospek untuk emas.

"Kita terpaksa melupakan karate yang sebelum ini berjaya menyumbang tujuh emas pada aksi Sukan SEA di Myanmar tahun lalu.

"Dengan prestasi atlet yang begitu meyakinkan, saya akui bukan saja saya, malah semua yang terlibat termasuk atlet amat kecewa dengan keputusan tersebut," katanya di Putrajaya semalam.

Sebagai rekod, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah membuat rayuan sejak Mac lalu agar acara tersebut dipertandingkan, namun jawatankuasa penganjur tetap dengan pendirian mereka.

Malah, kedegilan Singapura turut terserlah apabila menolak saranan Presiden Persekutuan Karate Antarabangsa, Antonio Espinos yang menawarkan untuk membayar segala kos bagi melaksanakan acara tersebut pada temasya sukan itu.

Bagaimanapun, Singapura memberi alasan masalah venue dan masalah tadbir urus tempatan menyebabkan acara itu tidak disenaraikan.

Sehubungan itu, Malaysia perlu bersedia apabila Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA, Dr. Tan Eng Liang mengesahkan, floorball dan petanque akan menjadi acara baharu yang akan disenaraikan manakala karate, angkat berat dan gusti disingkirkan.

"Saya percaya MOM telah melakukan yang terbaik dan acara lain akan membantu Malaysia dalam kutipan pingat nanti," ujar Khairy.