Waris mahu MAS sediakan bilik hotel


TIGA anggota polis mengawal sebuah bilik semasa mesyuarat diadakan antara perwakilan Malaysia dengan waris-waris penumpang pesawat MH370 di Hotel Lido, Beijing kelmarin.


BEIJING - Seorang waris penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu, Wen Wancheng meminta beberapa buah bilik hotel yang menempatkan sebahagian kecil saudara-mara mangsa pesawat itu di sini.

Beliau membuat permintaan itu selepas MAS meminta waris-waris penumpang tidak lagi menginap di tiga buah hotel di sini yang dibiayai syarikat penerbangan tersebut mulai kelmarin.

Menurut kenyataan MAS, kemudahan penginapan untuk waris penumpang MH370 di tiga hotel di sini, termasuk Hotel Lido, akan dihentikan mulai hari ini.

Menurut Wancheng, beberapa saudara-mara penumpang itu akan menjadi wakil bagi mendesak MAS memberikan jawapan berhubung kehilangan pesawat MH370.

"Meletakkan beberapa orang waris itu merupakan satu cara untuk mendesak MAS terus mengendalikan perkara itu (mencari pesawat MH370) kerana kami tidak percaya kepada MAS berdasarkan pengalaman lalu," katanya seperti disiarkan agensi berita dpa semalam.

Wancheng, 62, berkata, dia berharap kerajaan China akan meminta MAS serta pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia untuk membiayai sebuah pusat yang menempatkan wakil-wakil saudara-mara waris penumpang MH370 di sini.

Menurutnya, wakil-wakil saudara-mara itu akan memberikan tekanan kepada MAS supaya memberikan jawapan berhubung nasib dan kehilangan pesawat tersebut.

Wancheng bercakap menerusi telefon dari rumahnya di bandar Jinan, timur China, kira-kira 400 kilometer dari Hotel Lido, Rosedale dan Chunhuiyuan yang menyediakan lebih 100 bilik untuk waris-waris penumpang MH370 selepas pesawat tersebut hilang pada 8 Mac lalu.

"Saya percaya anak lelaki saya masih hidup. saya percaya MAS tahu di mana lokasi pesawat itu berada.

"Mereka (pihak MAS) membuat rumusan yang awal dengan menyatakan semua penumpang telah mati.

"Pihak MAS tidak dapat membuktikan berlaku satu kemalangan (pesawat MH370 terhempas)," kata Wancheng.

Anak Wancheng, Wen Yongsheng, 34, menaiki pesawat itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China sebelum ia hilang di Laut China Selatan.

Misi pencarian pesawat itu dilakukan di selatan Lautan Hindi kerana ia dipercayai terhempas di kawasan tersebut berdasarkan data satelit.

Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. Sebanyak 153 daripada 227 penumpang itu adalah warga China. - Agensi