Bakal pengantin maut dalam nahas jalan raya di Setiu

04/05/2014 9:32pm

SETIU - Hasrat dua bakal pengantin untuk menziarahi kematian anggota keluarga di Kuala Krai, Kelantan tidak kesampaian selepas kereta yang mereka naiki bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 46 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Balai Polis Sungai Tong di sini hari ini.

Dalam insiden kira-kira 1.30 petang itu, Mohd. Hafizan Jusoh, 35,

dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu dan tunangnya, Rosnazira Mahmud, 33, dari Kuala Krai, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Abd. Rahman Raja Mohamad berkata, kereta mangsa jenis Proton Iswara dipercayai bertembung sebuah Toyota Fortuner yang dipandu seorang lelaki.

Beliau berkata, dua penumpang dalam kereta mangsa iaitu seorang remaja lelaki berusia 14 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, yang merupakan anak saudara Rosnazira, parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, pemandu pacuan empat roda yang dalam perjalanan dari Kelantan menuju Kemaman, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Setiu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama